Showing posts with label BERITA. Show all posts
Showing posts with label BERITA. Show all posts

Wednesday, January 06, 2010

Kenyataan GMUKM-Isu Kalimah ALLAH

5 Jan, selasa - Mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan terbitan gereja Katholik, Herald, menggunakan perkataan Allah sebagai ganti 'God' dalam bahasa Inggeris, Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) terpanggil untuk memberikan pandangan dan cadangan :

1. GMUKM amat menghormati prinsip kebebasan beragama sepertimana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama, melainkan ia merupakan pilihan sendiri. Prinsip kebebasan beragama ini juga telah dimaktub dalam perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

2. Walaupun demikian, dalam kontak masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama. Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini.

3. GMUKM ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

4. Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini. Peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapat sokongan rakyat.

Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Imran ayat 64 yang bermaksud:

Katakanlah hai ahli kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan dia, dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya, sebagai tuhan selain Alllah.


5. GMUKM dengan tegasnya menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh menggugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.

6 . GMUKM mencadangkan agar pihak-pihak berwajib (JAKIM, Majlis Fatwa Kebangsaan, Persatuan Mahasiswa Islam, GAMIS, badan-badan NGO, etc) :

  • Meneruskan dialog bersifat intelektual bersama golongan bukan Islam supaya penggunaan kalimah Allah ini dapat diperjelaskan.
  • Memperjelaskan mengenai kemurnian dan keindahan agama Islam mengikut perundangan dan sejarah Islam itu sediri.
  • Untuk umat Islam pula, penjelasan yang lebih dalam akan disampaikan menerusi medium sedia ada seperti khutbah Jumaat dan forum Islam untuk menjaga keharmonian yang sedia terbentuk selama ini
  • Memperluaskan ruang lingkup dakwah dan jangan persempitkan. Mantapkan gerakan membina semula akidah yang sejahtera dan memahamkan generasi kita wajah Islam yang sebenar agar mampu bersaing dan menghadapi cabaran zaman.
GMUKM dengan prihatin menyokong segala bentuk aktiviti atau program dakwah bagi menjelaskan Isu Kalimah Allah ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.

Cadangan rujukan - http://drmaza.com/home/?p=566

Tuesday, December 29, 2009

MPP SETUJU PENAMBAHBAIKAN SISTEM PENDIDIKAN IPT

KL 29 Dis- Kerajaan digesa merombak semula sistem pendidikan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini jika mahu melahirkan modal insan berkualiti.

Timbalan Naib Canselor Akademik Dan Hal ehwal Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, kita perlu merombak semula sistem pendidikan IPT yang hari ini dilihat terlalu memberi tumpuan pada peperiksaan semata-mata.

"Kita tidak mahu melahirkan siswazah 'ulat buku' serta 'robot' sebaliknya seseorang yang memiliki sahsiah diri yang berkualiti, mampu menjadi pemimpin yang berfikiran kreatif dan kritis", tambahnya lagi.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Dr. Nik Mustapa Raja Abdullah pula berkata, setiap pelajar perlu dibimbing dan dibantu dengan cara yang betul agar bakat-bakat terpendam mereka dapat dicungkil.

"Justeru, pihak IPT perlu mendapatkan mandat daripada kerajaan dalam menyediakan sistem pendidikan yang seimbang antara kedua-duanya."ulasnya.

MPP Fakulti Pendidikan, Muhamad Faiz Ismail yang dihubungi semalam turut menyatakan persetujuan terhadap hasrat tersebut.

"Kita perlu kembali merujuk kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sejauh mana sistem yang tersedia pada waktu ini memenuhi syarat bagi melahirkan modal insan yang seimbang.Mahasiswa seimbang tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan PNGK yang diperolehi, tetapi juga sahsiah dan kemahiran insaniah yang dimiliki"katanya.

Tambahnya, pendidikan tidak sewajarnya hanya tertumpu pada usaha mencapai keputusan akademik terbaik, sehingga proses pembentukan akhlak masyarakat terpelajar diabaikan. Kita tidak mahu mahasiswa hanya hebat di 'gelanggang peperiksaan' tetapi gagal menyerlahkan peribadi positif dalam kehidupan bermsyarakat.

"UKM dilihat sedang mengorak langkah memperkasakan ko-kurikulum dan ia dilihat sebagai suatu usaha yang baik. Namun, masih terdapat aspek yang perlu dikaji semula untuk penambahbaikan." ujarnya.

Tuesday, December 15, 2009

Insentif Bagi Guru Sarjana dan Phd

KL, 14 Dis-Ahli parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa mencadangkan kepada kerajaan agar memberikan insentif kenaikan gaji kepada guru-guru yang mempunyai Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (Phd). Beliau juga turut menyuarakan kekecewaan guru-guru yang mempunyai kelulusan Sarjana dan Phd kerana tiada sebarang keistimewaan diberikan kepada mereka.

Mujahid turut meminta kerajaan meletakkan satu tangga gaji kepada guru-guru yang mempunyai Sarjana dan Phd di setiap sekolah selain menetapkan bilangan guru yang mempunyai kelulusan berkenaan di setiap sekolah. Cadangan tersebut turut disokong oleh Datuk Ismail Mutalib, ahli parlimen Maran yang menyatakan bahawa guru-guru ketinggalan dari segi kenaikan pangkat. Beliau turut meminta kerajaan agar memberi kenaikan gaji kepada guru sama seperti pegawai kerajaan yang lain.

Mohd Faez Mat Zin, MPP Umum Thn 3/4 yang juga mahasiswa Fakulti Pendidikan apabila ditemui menyambut baik cadangan tersebut. "Kepakaran yang dimiliki oleh guru Sarjana dan Phd sememangnya mampu menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan di sekolah. Justeru, cadangan pemberian insentif tersebut adalah wajar bagi meningkatkan motivasi guru lain untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi" katanya.

Beliau juga berkata, kelayakan yang lebih tinggi membolehkan guru mengisi ruang sebagai tenaga pengajar di Institut Pendidikan Guru atau Institusi Pengajian Tinggi yang lain. Ini kerana ilmu berkaitan pendidikan seperti pedagogi dan psikologi merupakan kelebihan bagi guru jika bergelar pensyarah dalam memastikan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Saturday, November 07, 2009

TESTIMONI SPKG

Bangi 7 nov - Sistem Penilaian Kompetensi Generik (SPKG) merupakan satu sistem untuk mengukur sejauh mana kebolehpasaran graduan UKM dalam sektor pekerjaan. Sistem ini juga merupakan satu keperluan dalam Kerangka Kelayakan Malaysia yang menentukan kualiti setiap program yang ditawarkan oleh IPTA/IPTS di Malaysia.

Wartawan GMUKM sempat menemui beberapa orang pelajar UKM berkaitan sistem yang diperkenalkan pada tahun lepas untuk melihat maklum balas terhadap pelaksanaan sistem ini.


Mohd Nazri Tahir, FPI tahun 2
" Pada pandangan saya, sistem ini merupakan satu sistem yang perlu dikaji semula keberkesanannya. Memang bagus untuk melahirkan mahasiswa yang boleh memenuhi pasaran kerja, tapi kita perlu melihat balik beberapa aspek penting yang perlu ditekan. Jangan hanya kita memikirkan aktiviti sahaja sedangkan akademik sanggup diketepikan".

Nurul Jawahir Md Ali, FSSK tahun 2
"Adalah tidak adil mahasiswa hanya dibebankan untuk menghadiri aktiviti kolej yang tidak menjana keintelektualan mahasiswa. Bukankah kita perlu menjadi mahasiswa yang bijak dalam semua aspek? dan saya melihat kebanyakan aktiviti kolej hanya bertumpu kepada hiburan dan tidak dapat mencambahkan pemikiran mahasiswa. Bukan saya kata tidak ada aktiviti yang baik tetapi aktiviti yang tidak bermanfaat banyak dihidangkan kepada mahasiswa. Kekadang kami terpaksa menghadiri program kolej walaupun banyak assignment yang perlu disiapkan. Saya jadi keliru, yang mana perlu diutamakan. Adakah SPKG supaya saya boleh still tinggal dalam kolej atau tanggungjawab saya menyiapkan assignment yang perlu dihantar".

Fariq, FST tahun 1
"SPKG ni bagus kalau perlaksanaannya dirancang dengan baik. Saya berminat untuk menyertai persatuan-persatuan yang ada kat UKM ni sebab saya rasa penyertaan dalam persatuan sebegini dapat membina kredibiliti diri saya. Masalahnya sekarang saya terpaksa menghadiri program kolej semata-mata untuk SPKG. Saya berpendapat, mungkin 51% penilaian yang perlu dinilai oleh pihak kolej perlu diberikan kepada penglibatan dalam persatuan-persatuan di UKM. Selain itu, takkanlah dengan membuat perkara remeh temeh juga akan diberi merit untuk SPKG? sepatutnya satu standard aktiviti perlu dibuat untuk lebih memperkasakan SPKG".

Mengikut maklumat yang diperolehi pihak GMUKM, kebanyakan pelajar tahun 1 dan tahun 2 tidak berminat dengan sistem baru ini. Kebanyakan tenaga akademik juga banyak mempersoalkan keberkesanan SPKG ini.

Seorang pensyarah dari Pusat Pengajian Biosains Bioteknologi FST juga tidak berpuas hati dengan penglibatan pelajar di kolej.

"Penyertaan pelajar di kolej perlu dilimitkan kerana matlamat datang ke universiti ini adalah untuk belajar. Saya juga tidak faham kenapa aktiviti di kolej lebih dititikberatkan sedangkan pelajar perlu mendalami ilmu terlebih dahulu untuk mendapatkan keputusan peperiksaan yang cemerlang, kerana untuk memenuhi pasaran kerja, akademik akan dipandang terlebih dahulu", tambahnya lagi.

Bagi sistem ini, nilai PNGS Kompetensi Generik akan dilaporkan dalam transkrip keputusan setiap semester. Selain itu, para graduan UKM akan mendapat Diploma Supplement untuk memaparkan PNGK Kompetensi Generik yang diperolehi sepanjang berada di UKM.

-GMUKM

Friday, November 06, 2009

Sudut Pidato - KPT sokong

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi membenarkan sudut pidato atau Speaker's Corner diperkenalkan semula di semua institusi pengajian tinggi (IPT) bagi mengasah bakat pengucapan umum berkesan di kalangan warga kampus.

Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata aktiviti yang boleh dilaksanakan pada bila-bila masa itu sebelum ini dihentikan berikutan pelaksanaan Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Sambil menjelaskan aktiviti itu boleh diperkenalkan semula setelah AUKU dipinda Februari lalu, beliau berkata, sudut itu memberi pelajar peluang menyuarakan pendapat menerusi pidato umum yang dinanti-nantikan warga kampus.

“Kementerian memberi peluang pelajar berkongsi pengetahuan dengan mengemukakan isu dan topik bernas untuk dikongsi bersama, selain dapat memperkemaskan sistem pengurusan sedia ada dalam usaha memartabatkan IPT.

“Mahasiswa adalah golongan pencetus minda positif dan idea membina dalam membangunkan komuniti kampus serta masyarakat sekeliling,” katanya.

Saifuddin berkata, pelajar bebas berpidato dengan mengemukakan isu semasa, antaranya politik, ekonomi dan sosial selain pandangan serta kritikan bernas dalam memperkasakan pentadbiran IPT dan negara.

“Kami lebih liberal dalam hal ini kerana yakin pelajar mempunyai wawasan dan pandangan jelas mengenai setiap topik dan isu yang akan mereka kemukakan.

“Usaha ini adalah antara langkah kementerian lakukan bagi melahirkan pelajar serba boleh dan mempunyai semangat juang tinggi,” katanya.

Mengimbau kembali kegemilangan sudut pidato di IPT sekitar 1960-an hingga 1970, katanya, pemimpin pelajar ketika itu di kalangan mereka yang petah berpidato dan mempunyai idea bernas untuk dikongsi bersama.

Beliau berkata, pemimpin kampus juga mempunyai pengikutnya yang berpengaruh dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat, hasilnya negara mempunyai pemimpin yang berani dengan semangat juang tinggi.

“Ramai pemimpin negara hari ini lahir di kalangan pemidato yang bernas mindanya ketika di kampus dan kini menjadi tokoh disegani,” katanya.

Mengulas kemungkinan kelonggaran itu menyebabkan pelajar menjadi alat pihak tertentu menyalurkan dakyah politik mereka, Saifuddin berkata, warga kampus golongan berpelajaran.

Katanya, mahasiswa tidak terpengaruh dengan anasir negatif yang cuba mempengaruhi mereka kerana masing-masing berfikiran matang, manakala topik perbincangan pula dikupas secara rasional sesuai tahap pendidikan. -

Thursday, October 22, 2009

ISU YURAN PELAJAR : MAHASISWA TERKEHADAPAN


UKM, 21 Okt- Satu pertemuan sebentar tadi antara GMUKM bersama Bendahari UKM iaitu En. Hj Mohd Rashid Mohd Fadzil telah membawakan khabar gembira buat seluruh mahasiswa/i UKM. Kehadiran Saudara Mohd Idris B Mohd Yusoff selaku MPP FPI serta pimpinan Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Politik telah disambut baik dengan kehadiran pegawai keselamatan UKM.

Perbincangan antara Bendahari UKM dengan Saudara Mohd Idris, Saudara Taufik dan Saudara Hilman yang mewakili pimpinan Persatuan Mahasiswa Sains Politik adalah mengenai isu sistem pakej baru dalam yuran pengajian dan isu mahasiswa yang berhutang tidak boleh membuat pendaftaran awal yang akan menyebabkan pinjaman PTPTN mereka ditahan untuk semester hadapan termasuklah akan didenda RM15.00. Perbincangan itu menghasilkan beberapa keputusan positif kepada mahasiswa:

1) isu pakej baru yuran yang menyebabkan pelajar lama terpaksa membayar yuran lebih walaupun jumlah jam kredit yang diambil adalah sedikit.

Respon Bendahari: Bayaran yuran bagi pelajar lama kembali mengikut sistem lama iaitu mengikut bilangan jam kredit yang diambil. Sekiranya ada di kalangan mahasiswa yang telah membayar lebihan yuran kerana pakej baru, bayaran tersebut akan ditolak kembali pada semester hadapan. Bagi mahasiswa baru, pakej baru diteruskan kerana lebih menguntungkan berbanding sistem lama kerana jumlah jam kredit yang bertambah.

2. Isu mahasiswa yang berhutang tidak boleh membuat pendaftaran awal yang akan menyebabkan pinjaman PTPTN mereka ditahan untuk semester depan termasuklah akan didenda RM15.00

"Saya berpandangan, mereka yang tidak membuat pendaftaran awal bukan semua kerana kelalaian tetapu benar-benar menghadapi masalah kewangan. Justeru, jika mereka tidak dibenarkan mendaftar dan ditahan pinjaman PTPTN, ini lebih memburukkan keadaan mahasiwa yang mempunyai masalah kewangan," Mohd Idris melahirkan rasa kecewanya.

Setelah berbincang, Bendahari UKM telah pun bersetuju untuk menghantar surat kepada Bahagian Akademik yang membolehkan semua mahasiswa yang masih berhutang boleh membuat pendaftaran awal. Beliau memberi jaminan bahawa dalam masa terdekat ini, semua mahasiswa yang masih berhutang boleh membuat pendaftaran awal kursus semester depan.

Mahasiswa/i dinasihatkan untuk mendaftar kursus awal setelah peluang dibuka. Sekiranya masih berlaku permasalahan, sila sampaikan kepada mana-mana MPP mahasiswa.

Friday, October 16, 2009

Lagi Kes Pelajar : Cabaran Buat Guru

gambar hiasan

Seorang pelajar Tingkatan Lima dan seorang remaja lelaki berumur 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan memukul dua pelajar Tingkatan Empat menyebabkan seorang daripada mereka koma, di hadapan sebuah kafe siber di Rawang awal bulan ini.

S Kanageswaran @ Kanages, 18, yang berasal dari Jalan Garing Jaya, Rawang, dan remaja lelaki itu yang berasal dari Taman Garing Utama, Rawang, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Mereka didakwa mencederakan Mohd Khairul Nizam Muhammad, 16, dan Muhammed Ilyas Mazlan, 16, dengan menggunakan topi keledar di hadapan Cyber Cafe Matrix, Pusat Bandar Baru Rawang kira-kira pukul 6.15 petang pada 3 Okt lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Diyana Ismail membantah jaminan diberikan kepada Kanageswaran dan remaja lelaki itu dengan alasan kesalahan yang dilakukan serius kerana menyebabkan kedua-dua mangsa cedera parah dan seorang daripada mereka masih koma sehingga hari ini.

"Sekiranya mahkamah cenderung untuk memberi jaminan, pohon jumlah yang tinggi dengan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis terdekat," katanya.

Peguam K Theivaendran yang mewakili Kanageswaran dan remaja lelaki itu pula memohon mahkamah membenarkan ikat jamin dengan alasan kedua-dua anak guamnya tidak boleh dipertanggungjawabkan ke atas kedua-dua kejadian itu memandangkan ia turut melibatkan empat lelaki lain.

"Yang ditangkap cuma tiga orang tetapi hanya dua didakwa hari ini. Saya juga dimaklumkan bahawa topi keledar berkenaan bukan milik kedua-dua anak guam saya dan menurut mereka juga kejadian itu dilakukan oleh orang lain," katanya.

Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, hakim kemudian membenarkan Kanageswaran dan remaja lelaki itu dibebaskan dengan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan mereka melapor diri di balai polis terdekat pada Sabtu pertama setiap bulan sehingga kes itu selesai.

Mahkamah menetapkan 17 Nov depan untuk sebutan semula kes.

BERNAMA

ISU PEMBEKUAN PENEMPATAN GURU : MPP MINTA PENJELASAN


Putrajaya, 16 Okt- Kira-kira jam 10.50 pagi tadi, Majlis Perwakilan Pelajar Gabungan Mahasiswa daripada Fakulti Pendidikan iaitu saudara Affandi Bin Abdul Rahman telah berkunjung ke Pejabat Kementerian Pelajaran untuk berjumpa dengan Menteri Pelajaran Malaysia bertujuan meminta penjelasan dan berbincang dengan Tan Sri Muhyidin Yasin berkaitan dengan isu yang hangat diperkatakan pada masa sekarang iaitu pembekuan penempatan guru pada tahun hadapan.

Berdasarkan kepada maklumat yang diterima oleh wartawan Gabungan Mahasiswa, perancangan untuk bertemu dengan Menteri Pelajaran oleh MPP FPEND serta beberapa orang mahasiswa lain yang turut menyertai perjumpaan itu tidak berjaya. Namun begitu, mereka telah berjaya bertemu dengan beberapa orang pegawai daripada Kementerian Pelajaran Malaysia tersebut.

Hasil pertemuan tersebut, pihak KPM menyatakan tiada sebarang arahan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak kementerian terhadap arahan pembekuan tersebut.

Wartawan Gabungan Mahasiswa sempat untuk bertemu dengan saudara Affandi untuk bertanyakan mengenai tindakan yang diambil oleh pihak Gabungan Mahasiswa dalam menangani isu tersebut. Menurut beliau, pihaknya telah berhubung dengan membina kerjasama bersama MPP Pro Mahasiswa daripada universiti lain untuk memastikan isu ini tidak menjadi kenyataan, kerana isu ini adalah isu bersama dan bukannya kepada pelajar ukm sahaja.

Beliau juga memaklumkan bahawa Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UPSI Prof Dr Zakaria Kasa baru-baru ini telah menjelaskan semula kenyataan yang dikeluarkannya melalui email yang dihantar kepada pihak UPSIKini. Menurut Prof tersebut, kelewatan penempatan yang dijangka berlaku tahun hadapan itu adalah satu kemungkinan. Selain itu, beliau juga memberi nasihat dan pandangan peribadinya sekiranya kelewatan itu benar-benar berlaku.

Wednesday, September 16, 2009

MESYUARAT MPP BERSAMA MPU DITANGGUH?

UKM, 16 Sept-Mesyuarat Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bersama Majlis Pengurusan Universiti (MPU) yang kali pertama diadakan terpaksa ditangguhkan buat kali yang kedua. Paling mengejutkan adalah penangguhan berlaku akibat permintaan Presiden PMUKM sendiri, Nasir Nazri kepada Naib Canselor atas alasan bahawa ramai MPP (baca MPP Aspirasi) telah pulang ke kampung untuk bercuti raya.

MPP Mahasiswa seramai 12 orang itu juga tidak menerima sebarang notis mahupun sistem pesanan ringkas (SMS) memaklumkan tentang penundaan mesyuarat tersebut. Akibatnya, mereka hadir ke mesyuarat itu tepat jam 9.00 pagi dan malangnya mendapati tiada kelibat ahli mesyuarat yang hadir.

“Kita sepatutnya lebih profesional dan tidak sewenang-wenangnya memberi alasan yang bersifat 'kebudak-budakan'. Banyak isu mahasiswa yang masih belum selesai, tempoh jawatan MPP juga hampir tamat, justeru kenapa lengah-lengahkan dengan menjadikan 'balik raya' sebagai alasan,” ujar MPP Fakulti Pendidikan mengulas tentang isu tersebut.

Menurut MPP tersebut, alasan penangguhan kerana hari raya adalah tidak relevan dan pihak PMUKM Aspirasi perlu mengutamakan kepentingan mahasiswa, bukannya kepentingan peribadi.

Walau bagaimanapun, dilaporkan bahawa MPP Mahasiswa yang hadir telah pergi ke bilik TNC HEPA dan berjaya berjumpa dengan Naib Canselor dan TNC HEPA di ruangan tingkat 6 Bangunan Canselori. Dialog diadakan untuk membincangkan hal tersebut dan peluang itu turut dimanfaatkan oleh MPP Mahasiswa untuk mengajukan pertanyaan berkaitan kebajikan mahasiswa.

Pertemuan itu berlangsung kira-kira satu jam. Naib Canselor apabila diajukan permasalahan tentang mesyuarat MPP yang hanya berlangsung satu kali sahaja setakat ini, beliau terkejut dan meminta TNC HEPA menyiasat isu ini.



Monday, September 14, 2009

Students Council Hands Memo To Indonesian Embassy-Bernama News


KUALA LUMPUR, Sept 14 (Bernama) -- The National Undergraduates' Representatives Council (MPMN) on Monday submitted a memorandum to the Indonesian embassy here urging the Indonesian government to seek an understanding with the Malaysian government to ease any tension between both countries.

The memorandum was handed over to Soneta Asmara, Third Secretary, Information, Social and Culture Department at the embassy.

MPMN deputy chairman Hisyamuddin Che Ali said the request was one of six matters contained in the memorandum.

He said the Indonesian government should take stern action against any individual or group involved in attempts to tarnish the cordial relations between the two countries.

"Both countries have to hold discussions to seek an understanding, besides the important roles to be played by both leaders (the Malaysian prime minister and the Indonesian president), in restoring relations to their best," he told reporters after handing over the memorandum.

Hisyamuddin also asked the Indonesia media to stop sensationalising issues which could undermine bilateral relations and to report issues in a transparent and responsible manner.

"The memorandum also wants consultations to be held amicably, including through legal channels, if necessary, to restore relations," he said, adding that the council wanted the Indonesian government to ensure the security of Malaysian students in that country.

Soneta, when approached at a breaking of the fast at the embassy with Malaysian and Indonesian media representatives, confirmed having received the memorandum and gave the assurance the matter would be looked into.-- BERNAMA

Saturday, September 12, 2009

FESTIVAL ILMU : CETUSAN MPP MAHASISWA


Festival Ilmu '09 merupakan program yang julung-julung kali diadakan anjuran MPP UMUM, Mohd Faez Mat Zin dengan kerjasama Persatuan Anak Negeri Terengganu (PERMATA). Program yang bertemakan "Keintelektualan Asas Kemajuan Mahasiswa" ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik sesuai dengan keperluan mahasiswa/i pada hari ini.

Antara aktiviti yang mendapat sambutan hangat daripada warga kampus ialah Forum Ramadhan yang menampilkan penceramah hebat iaitu Ustaz Farhan Abdullah dan Ustaz Ridhuan Mohd Nor. Selain itu, Festival ini turut memuatkan program berkaitan 'softskills' seperti Bengkel Keusahawanan dan Kerjaya serta Program Motivasi Kepimpinan dan Sahsiah Diri.


Pesta Buku dan Jualan turut mendapat tempat di hati mahasiswa/i yang sudi meluangkan masa berkunjung ke booth-bo0th yang ada untuk membeli bahan bacaan dan barangan keperluan harian. Festival yang berlangsung selama 3 hari ini diharapkan dapat membangkitkan semangat mahasiswa/i untuk terus meneroka dan menguasai pelbagai bidang ilmu di samping melengkapkan diri dengan kemahiran insaniah yang lain.

MPP UMUM, Mohd Faez Mat Zin yang ditemui berkata, penghayatan ilmu perlu dititikberatkan oleh mahasiswa/i untuk memastikan nilai keintelektualan terus berkembang subur.

"Pembudayaan ilmu adalah proses berterusan yang memerlukan disiplin diri yang tinggi. Pembelajaran yang disertai dengan penghayatan akan memberi impak yang lebih besar dalam proses pengaplikasian ketika berdepan dengan masalah dan cabaran mendatang," ujarnya lagi.




Thursday, September 03, 2009

KURMA UNTUK MAHASISWA


UKM, 3 sept- Dalam kesibukan masyarakat kampus menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak, GMUKM mengorak langkah mendekati masyarakat kampus dengan memberi kurma percuma kepada mereka.
"Saya berterima kasih kepada pihak GMUKM, mereka sentiasa mendahului isu dan prihatin terhadap keadaan sekeliling. Saya rasa mereka patut diberi pujian kerana banyak perkara kebajikan yang telah mereka buat untuk masyarakat kampus," kata Nur Ain Nasir pelajar FST/2 ketika ditemui wartawan GMUKM.
Pemberian kurma kepada masyarakat kampus merupakan aktiviti yang telah lama dirancang oleh pihak GMUKM. Matlamat utama pemberian kurma kepada mahasiswa/i UKM adalah untuk mengingatkan mereka agar meningkatkan amal ibadah pada bulan yang mulia ini. Setelah selesai memberi kurma di kafeteria-kafeteria kolej, pihak GMUKM telah menganjurkan tadarrus beramai-ramai di masjid UKM.


"Pihak GMUKM berterima kasih kepada semua yang telah hadir bertadarrus bersama-sama kami," ucap Saudara Affandi Abdul Rahman, MPP Fakulti Pendidikan Thn 3 & 4 semalam.

Sunday, August 30, 2009

AKTIVIS MAHASISWA SERAH MEMORANDUM KEPADA MENTERI


Putrajaya : Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) dan Gabungan Mahasiswa Islam Se Malaysia (GAMIS) hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, YB Senator Mej. Jan. (B) Dato’ Jamil Khir Baharom agar menyelesaikan dengan baik isu Konsert Michael Learns To Rock (MLTR) dan isu sebatan ke atas Kartika Sri Dewi Shukarnor.

Memorandum itu diserahkan oleh MPMN dan GAMIS kepada Ketua Setiausaha Sulit kepada Menteri terbabit di Pejabat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri parcel D, Putrajaya kira-kira jam 4.00 petang.

Konsert Michael Learns To Rock yang dijangka diadakan pada 5 September ini bersamaan 15 Ramadhan dilihat mencemarkan bulan ramadhan dan juga isu kontroversi melibatkan Kartika, wanita yang dijatuhi hukuman sebat sebanyak 6 kali oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan atas kesalahan meminum arak.

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se Malaysia (GAMIS),Saudara Mohd. Idris Mohd Yusof Al-Hafiz berkata tindakan senyap pihak Kementrian yang menjaga agama ini boleh menjadi barah yang mengundang ancaman kepada umat islam di negara ini.

“Sehingga hari ini, kita masih menanti jawapan yang tegas daripada Menteri ( Datuk Jamil Khir) itu sendiri berkaitan isu ini tetapi pihak kementrian yang menjaga agama islam hanya diam membisu seperti isu-isu agama islam sebelum ini”, ujarnya merujuk kepada isu status agama anak di bawah umur 18 tahun yang masih dipertikaikan sehingga ke hari ini.

Menurut Idris yang juga Presiden Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (ISIUKM) lagi bahawa kedua-dua isu ini jika tidak ditangani dengan baik, akan menghasilkan satu gelombang mahasiswa yang mampu menjatuhkan kerajaan pada hari ini.

“Memorandum ini adalah hasil terjemahan ketidakpuasan hati kami dan kepada pihak Menteri yang menjaga agama ini, mereka perlu mengambil serius segala teguran dan desakan mahasiswa demi kepentingan umat islam yang semakin tercabar hari ini”, tegasnya.

Dalam pada itu, pimpinan MPMN yang menggerakkan kempen memorandum itu turut hadir dalam penyerahan memorandum tersebut. Malangnya walaupun menteri ada di pejabat ketika peneyrahan memorandum itu, tetapi Setiausaha Sulit menteri terbabit tidak membenarkan wakil mahasiswa untuk menyerahkan memorandum terbabit.

Menurut Pengerusi MPMN, Saudara Mohd Ridhuan Mohammad dalam kenyataannya meminta agar Datuk Khir Johari meletak jawatan sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri bagi hal ehwal islam.

“ Mahasiswa merasakan kerajaan khususnya Kementrian yang dipimpin oleh Dato’ Jamil Khir sudah tidak serius dalam menguruskan amanah rakyat khususnya berkaitan dengan islam dan mahasiswa mendesak beliau meletak jawatan dengan segera atas kegagalan ini,” ujarnya.

Beliau turut menempelak sikap Menteri yang enggan menerima sendiri memorandum itu dan hanya mewakilkan kepada Setiausahanya sahaja untuk menerima bantahan daripada mahasiswa ini.

Setelah menerima memorandum tersebut pihak Kementrian berjanji akan menyelesaikan kedua-dua isu tersebut dan meminta mahasiswa bertenang serta sabar dalam menunggu hasil keputusan mesyuarat melibatkan kedua-dua isu.

“ Kami masih menunggu jawapan daripada menteri terbabit dan jika tiada respon daripada beliau, kami tidak akan teragak-agak untuk membawa perkara ini ke pengetahuan Perdana Menteri dan Yang Dipertuan Agong”, ujarnya lagi yang merupakan Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM).

Tambahnya lagi bahawa media di negara ini perlu menghentikan isu Kartika ini agar ia tidak menjadi polemik dan mencemarkan nama baik islam di kacamata masyarakat.

Bagi Timbalan Pengerusi MPMN merangkap Ahli MPP UKM, Saudara Hisyamuddin Che Ali turut melahirkan nada kesal dengan sikap menteri yang tidak konsisten dalam mempertahankan agama islam.

“ Saya sebenarnya melihat dua isu ini dalam dua aspek iaitu isu penghinaan ke atas islam dan juga pencabulan serius terhadap undang-undang syariah.”

“ Mengapa Perdana Menteri, Menteri, Majlis Peguam dan NGO seperti Sister in Islam mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan tindakan tegas perlu diambil ke atas mereka-mereka yang berterusan menghina agama islam dan juga institusi kehakiman itu sendiri,” ujarnya sambil mencadangkan agar mereka ini didakwa di bawah Akta Hasutan 1948.

Beliau dalam pada itu menggesa ahli-ahli parlimen untuk bersikap terbuka dan mengiktiraf agama islam mengikut al-Quran dan As-Sunnah dengan meminda beberapa akta yang berkaitan.

“ Sudah sampai masanya ahli-ahli Parlimen terutamanya melayu islam bersatu dan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 1984 yang jelas merendahkan martabat islam dengan hukuman 356 (3 tahun penjara,denda 5 ribu ringgit dan 6 kali sebatan) itu,” ujarnya lagi.

Tegasnya lagi bahawa adalah hak asasi orang Islam untuk melihat konsert MLTR itu dibatalkan dan pada masa yang sama membiarkan Kartika memilih hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah Syariah Kuantan tanpa tekanan mana-mana pihak.

Dalam memorandum yang diserahkan itu, mahasiswa telah mendesak agar Konsert Michael Learns To Rock (MLTR) dibatalkan serta merta dan juga mempercepatkan tindakan menyelesaikan isu Kartika dengan berhemah dan tegas bagi mengelakkan timbulnya persepsi negatif berterusan kepada islam itu sendiri.

Turut hadir dalam penyerahan memorandum tersebut ialah Saudara Faridzul Nasruddin, Presiden Kelab Maa’ruf UIA dan beberapa orang wakil mahasiswa.

Tuesday, August 11, 2009

H1N1 : Mahasiswa/i digesa ambil langkah pencegahan

Bangi, 11 Ogos : Sejumlah 203 kes baru influenza A(H1N1) termasuk 6 kes kematian dilaporkan dan kesemuanya adalah kes tempatan yang terdiri daripada warga negara Malaysia. Jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) di Malaysia sehingga 10 Ogos 2009 adalah sebanyak 1983 kes dengan jumlah kematian 32 orang.

Untuk makluman, pada masa ini terdapat seramai 67 pesakit sedang dirawat di hospital dan seramai 15 lagi dirawat di ICU. Daripada 15 kes yang berada di Unit Rawatan Rapi, 6 daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (3), obesiti (1), post-delivery (1) dan bayi (1).

MPP Fakulti Pendidikan, Affandi Abdul Rahman menyifatkan penyakit ini tersebar begitu pantas dan mahasiswa/i seharusnya mengambil berat akan situasi ini.

"Angka kematian semakin meningkat dan ada mahasiswa/i UKM yang turut disahkan positif H1N1. Jadi, saya menyeru kepada semua agar mengambil langkah pencegahan sebelum keadaan menjadi lebih parah."katanya.

Merujuk kepada situasi global, sehingga 10 Ogos 2009, sejumlah 208,155 kes dengan 1,688 kematian telah dilaporkan daripada 174 negara. Ia merupakan peningkatan sebanyak 1066 kes dengan 100 kematian berbanding dengan hari sebelumnya.

Justeru, mahasiswa/i dinasihatkan supaya sentiasa mengambil langkah-langkah berikut :

  1. Bagi mereka yang mengalami simptom dan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi akibat jangkitan Influenza A(H1N1) diminta SEGERA mendapatkan rawatan. Rawatan anti-viral akan diberikan tanpa memerlukan ujian pengesahan makmal. Rawatan ini sangat berkesan untuk mengubati pesakit jika dimulakan dalam tempoh 48 jam selepas gejala bermula.

  2. Bagi mereka yang mempunyai simptom yang ringan diminta untuk mendapatkan rawatan simptomatik. Mereka juga dinasihatkan untuk berada di bilik dan membatas pergaulan serta aktiviti di luar. Kebersihan diri dan etika batuk perlu sentiasa diamalkan. Sekiranya terpaksa keluar, pakai penutup mulut dan hidung (mask) jenis ‘three ply’ untuk mengurangkan penularan virus kepada orang lain.

  3. Berikan perhatian kepada tanda-tanda amaran seperti masalah sukar bernafas, demam atau sakit dada yang berterusan, batuk/kahak berdarah, muntah/cirit-birit yang kerap. Dapatkan rawatan SEGERA apabila mengalami tanda-tanda tersebut.

  4. Mahasiswa/i diminta terus mengamalkan cara hidup sihat termasuk banyak meminum air, tidak merokok, makan secara sihat dan melakukan aktiviti fizikal. Amalkan langkah-langkah pencegahan H1N1 bagi mengurangkan penularan penyakit ini.

  5. Penutupan sesebuah institusi bergantung pada penilaian risiko yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah dan persetujuan bersama dengan pihak pengurusan institusi.

  6. Di hospital kerajaan, ujian pengesahan jangkitan influenza A(H1N1) hanya dibuat untuk kes-kes yang dimasukkan ke hospital sahaja.

Mahasiswa/i boleh mendapatkan maklumat melalui talian hotline yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-88810200 dan 03-88810300. Maklumat terkini juga boleh didapati daripada laman web Kementerian Kesihatan Malaysia http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my.

Kerjasama semua pihak amat diharapkan supaya jangkitan H1N1 dapat ditangani dengan berkesan.

Monday, August 10, 2009

INTERAKSI BERSAMA MPP DAN PENDIDIK 09

Tasik Kejuruteraan, 11 Ogos- Mahasiswa/i baru yang mendaftar sebagai ahli Persatuan Mahasiswa Fakulti Pendidikan (PENDIDIK) mengikuti aktiviti interaksi bersama Majlis Perwakilan Pelajar dan barisan kepimpinan PENDIDIK di samping menjalankan pelbagai aktiviti riadhah.

Program tersebut merupakan aktiviti tahunan yang dijalankan bagi membina pertalian yang erat dan memperkenalkan barisan kepimpinan mahasiswa/i di Fakulti. Rangsangan motivasi turut diberikan oleh MPP Fakulti Pendidikan untuk memastikan mahasiswa/i baru memanfaatkan sepenuhnya tempoh masa di universiti untuk melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran.




"Mahasiswa perlu membina potensi diri dan meneroka pelbagai bidang ilmu sebelum bergelar guru kelak. Didik diri sendiri terlebih dahulu sebelum menggalas tugas selaku pendidik generasi pelajar masa depan." kata Muhamad Faiz Ismail, MPP Thn 1 & 2.

MPP Thn 3 & 4, Affandi Abdul Rahman pula menegaskan bahawa cabaran selaku seorang guru memang besar. Justeru, mahasiswa/i perlu mempunyai jati diri yang cukup kental supaya segala dugaan dapat ditempuh dengan jayanya.

"Perjalanan anda baru bermula. Jangan sia-siakan masa yang ada. Fokus mendalami ilmu dan seimbangkan dari sudut akademik dan sahsiah."ujarnya lagi.

Thursday, August 06, 2009

KEMPEN MEMBACA DAN PEMBUDAYAAN ILMU

Bangi, 6 Ogos - MPP Mahasiswa telah melancarkan kempen membaca dan pembudayaan ilmu di Perpustakaan Tun Seri Lanang bersempena dengan Hari Bersama Pelanggan Perpustakaan 2009. Info berkaitan kepentingan membaca turut diedarkan untuk makluman kepada masyarakat kampus. Hari Bersama Pelanggan tersebut telah dirasmikan oleh Y.Bhg. Prof. Ir. Dr. Hassan Basri, Timb Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa.


Beliau menyambut baik kempen membaca yang diadakan dan mencadangkan agar MPP Mahasiswa menjalinkan kerjasama dengan pihak perpustakaan dengan melakukan pelbagai aktiviti untuk menggalakkan budaya membaca dalam kalangan pelajar.

MPP Fakulti Pendidikan, Affandi Abdul Rahman yang ditemui berkata kempen ini adalah sebagai seruan kepada seluruh mahasiswa/i supaya menjadikan membaca sebagai satu budaya untuk mendalami ilmu pengetahuan.

"Pembacaan tidak terhad kepada nota-nota kuliah dan buku rujukan subjek semata-mata, tetapi turut merangkumi pelbagai bacaan ilmiah yang lain termasuk isu semasa dan pengetahuan am."tegas beliau.


Mengulas lanjut, MPP Fakulti Pendidikan Thn 1 & 2, Muhamad Faiz Ismail berkata, sudah tiba masa untuk kita keluar daripada kerangka lama dan fokus untuk melahirkan mahasiswa yang berjiwa negarawan.

"Mahasiswa/i perlu mempelbagaikan bahan bacaan merangkumi pelbagai bidang ilmu sebagai keperluan untuk menjadi pemimpin masa hadapan. Kita tidak harus fokus kepada bidang yang diceburi sahaja hingga mengabaikan pengetahuan dalam bidang yang lain seperti ekonomi dan sosial." katanya.

Tuesday, July 21, 2009

Majlis Pemasyhuran Canselor Konvokesyen Khas UKM

Bangi, 21 Julai - Majlis Pemasyhuran Canselor Dan Konvokesyen Khas Universiti Kebangsaan Malaysia berlangsung dalam suasana yang harmoni. UKM melakar satu lagi sejarah apabila Ke Bawah DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni AlMarhum Tuanku Munawir diisytiharkan sebagai Canselor Ke-3 UKM.

Berangkat sama dalam Majlis Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Khas adalah DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani binti AlMarhum Tengku Besar Mahmud, Mantan Perdana Menteri Malaysia Ke-5, YABhg. Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi dan isteri YABhg. Tun Jeanne Abdullah, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, YBhg. Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, YBhg. Tan Sri Dato' Paduka Dr. Mazlan bin Ahmad, Naib Canselor UKM YBhg Prof. Tan Sri Dato’ Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Naib Canselor serta Rektor Institusi Pengajian Tinggi.

Majlis dimulakan dengan Upacara Majlis Pemasyhuran Canselor. Dalam titah DYMM Tuanku Canselor, Tuanku berbangga dengan UKM kerana sebagai sebuah Universiti Kebangsaan, UKM telah dan sedang melaksana tanggungjawab dalam memperkukuh asas Negara Bangsa, serta menjadi rujukan dalam pembinaan jati diri yang mengikat perpaduan dan keutuhan dalam negara. Majlis diikuti dengan Upacara Majlis Konvokesyen Khas Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Peradaban Islam) kepada YABhg. Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi.

MPP Fakulti Pendidikan, Saudara Affandi berkata, majlis tersebut amat bermakna kerana Canselor UKM diperkenalkan secara rasminya dalam acara yang gilang-gemilang.

“Kata-kata perangsang yang diberikan oleh DYMM Tuanku sedikit sebanyak menyuntik semangat kepada warga UKM khususnya mahasiswa/i baru untuk berusaha lebih gigih dan terus membina potensi diri menjadi insan seimbang.” katanya lagi.

Seluruh warga Fakulti Pendidikan menjunjung kasih atas keberangkatan DYMM Tuanku dan DYMM Tuanku Ampuan Besar ke Majlis Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Khas.

Sunday, July 12, 2009

Mahasiswa Membantah Kekejaman Selatan Thai

Bangi 11 Julai - Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyuarakan bantahan terhadap kekejaman yang berlaku di Selatan Thailand dua hari lepas dengan mengadakan perhimpunan secara aman setelah selesai solat Jumaat di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia.

Perhimpunan tersebut dianjurkan oleh beberapa persatuan mahasiswa yang berasa ‘terpukul’ dengan siri-siri kekejaman yang dilakukan terhadap penduduk Selatan Thailand.

Beberapa orang pimpinan mahasiswa telah tampil menyatakan pendirian berkaitan isu ini dan menggesa kemelut tersebut diselesaikan segera.

Konflik tersebut telah berlaku sekian lama dan dilihat semakin serius kerana angka korban kini mencecah 3700 orang. Konflik ini kembali mendapat perhatian media setelah pembunuhan kejam 11 orang jemaah ketika solat isyak di Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan pada 10 Jun yang lalu.

MPP Fakulti Pendidikan, Muhamad Faiz Ismail menyifatkan tindakan mendiamkan isu Selatan Thai adalah tidak wajar kerana bertentangan dengan semangat persaudaraan Islam.

"Suatu masa dulu isu Palestin menjadi perhatian, tapi kini kenapa isu selatan Thai didiamkan oleh masyarakat? Kenapa perlu memilih sedangkan tidak banyak beza antara keduanya. Kita perlu bersyukur dengan cara memberi bantuan kepada mereka....jangan sekali-kali membutakan mata tatkala mereka menghadapi kekejaman yang amat serius."tegasnya.

Sementara itu, wakil mahasiswa Pattani, Mohd Hafifi menegaskan bahawa rakyat Malaysia perlu bangkit membantah dan tidak wajar membisu tentang peristiwa berdarah yang terus-menerus berlaku saban hari di wilayah bergolak , selatan Thailand.

"Lihatlah apa yang berlaku, anda tidak sewajarnya berdiam diri kerana kita adalah saudara seIslam. Kekejaman ini perlu dihentikan segera kerana kami juga mempunyai hak untuk hidup dengan aman."kata beliau.

Wednesday, June 24, 2009

MPP gesa kerajaan nilai sahsiah pelajar

Bangi, 24 Jun- Kementerian Pelajaran Malaysia bercadang untuk mengkaji semula ketiga-tiga peperiksaan awam iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pengajian Malaysia (SPM). Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Pendidikan, Muhamad Faiz Ismail ketika dihubungi menegaskan pendirian beliau yang bersetuju dengan cadangan tersebut.

“Pihak kerajaan perlu giatkan usaha menambahbaik sistem pendidikan. Penilaian semula terhadap peperiksaan tersebut amat wajar dan perlu disegerakan,”kata beliau.

Selain itu, beliau turut berharap pihak kerajaan mempertimbangkan agar penilaian pencapaian dalam ketiga-tiga peperiksaan awam menekankan aspek akhlak dan moral.

“Ramai pelajar kita yang cemerlang dalam akademik tapi dalam masa yang sama rosak akhlaknya. Kita tak mahu perkara ni berterusan kerana situasi ini mampu menggagalkan usaha melahirkan modal insan seimbang. Jadi, saya sarankan supaya pihak kerajaan mengambil kira disiplin pelajar dalam pelbagai aspek dan tindakan mereka seharian,”tambahnya lagi.

TAKZIAH...

Dukacita dimaklumkan bahawa W. Siti Farihan Binti Mohamed Hassan, pelajar Sarjana (Kimia-P48081 ), Fakulti Sains dan Teknologi telah kembali ke rahmatullah pada pagi 23 Jun 2009 (Selasa). Beliau merupakan penghuni Kolej Pendeta Zaaba dan punca kematian masih dalam siasatan.

Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Pendidikan mengucapkan takziah kepada keluarga Allayarhamah. Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Al Fatihah.


 

.: Suara MPP FPend Sesi 2009/2010 :. Copyright © 2009