Showing posts with label ARTIKEL. Show all posts
Showing posts with label ARTIKEL. Show all posts

Thursday, October 08, 2009

GEMPA BUMI : Iktibar Dari Al-Quran


1. Gempa bumi yang berlaku di Padang dan Jambi Sumatera pada 30 september dan 1 oktober baru - baru ini cukup memilukan .

2. Kemusnahan dan kebinasaan akibat gempa bumi yang dahsyat ini sukar untuk dianggar . Musnah harta benda dan binasa segala nyawa .

3. Namun peristiwa sedemikian tidaklah berlaku secara spontan atau hanya fenomena alam sebagaimana yang sering diungkapkan oleh mereka yang tidak beriman kepada Qadha' dan Qadar Allah swt .

4. Al Quran [ wahyu Allah swt ] telah menegaskan beberapa peringatan yang boleh di dapati dalam banyak surah dan ayat guna membimbing ummat manusia agar beriman , bertaqwa dan mengabdikan diri kepada Allah swt .

5. Antara yang menarik sekaligus membuktikan mukjizat al Quran ialah keselarasan ayat quran dengan peristiwa gempa bumi di Padang Sumatera . Gempa bumi yang berlaku di Padang pada 30 september tempohari ialah tepat jam 5.16 pm [ atau jam 17:16 ] dan gegaran kedua berlaku pada jam 5. 58 pm [ atau jam 17 : 58 ] . Sementara esoknya [ 1 Oktober ] jam 8.52 am berlaku gegaran susulan di Jambi .

6. Apabila kita laraskan masa berlaku gempa bumi dengan surah dan ayat al quran , kita akan temui persamaannya seperti berikut . [ Jam 17 : 16 = Surah ke 17 ayat ke 16 ] [ Jam 17 : 58 = Surah ke 17 ayat ke 58 ] [ Jam 8:52 = Surah ke 8 ayat ke 52 ]

7. Secara indeksnya surah ke 17 ialah surah al Israa' sementara surah ke 8 ialah surah al Anfaal .

و إذا أردنا أن نهلك قرية أمرنا مترفيها ففسقوا فيها فحق عليها القول فدمرناها تدميرا

17.16 (QS. Al Israa’ ayat 16): “Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.”

و إن من قرية إلا نحن مهلكوها قبل يوم القيامة إو معذبوها عذابا شديدا كان ذلك في الكتاب مسطورا


17.58 (QS. Al Israa’ ayat 58): “Tak ada suatu negeri pun (yang durhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz).”

كدأب آل فرعون و الذين من قبلهم كفروا بأيات الله فأخذهم الله بذنوبهم إن الله قوي شديد العقاب


8.52 (QS. Al Anfaal: 52): (Keadaan mereka) serupa dengan keadaan Fir’aun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang sebelumnya. Mereka mengingkari ayat-ayat Allah, maka Allah menyiksa mereka disebabkan disebabkan dosa-dosanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Amat Keras siksaan-Nya.”

8. Ayat - ayat di atas jelas menunjukkan azab dan musibah yang Allah swt timpakan ke atas sesebuah negara atau negeri lantaran penghuninya derhaka kepada Allah swt . Ia boleh berlaku dan telah berlaku di hadapan mata kepala kita biarpun jauh di negara orang untuk menjadi iktibar buat seluruh ummat manusia .

9. Ayat - ayat Allah ini merupakan sistem amaran awal yang perlu diambil perhatian oleh seluruh ummat manusia supaya menjauhi segala perbuatan mungkar dan maksiat yang dimurkai oleh Allah swt . Hari ini mungkin Indonesia , tetapi tidak mustahil ia boleh berlaku di negara kita Malaysia pula pada bila - bila [ wali'yazubillah ] jika maksiat dan mungkar makin membarah .

10.Menyeru seluruh rakyat negara ini agar kembali kepada Islam sekaligus meninggalkan maksiat dan mungkar [ zina , pergaulan bebas , pendedahan aurat , judi , arak , rogol , rompak , samun , rasuah , salah guna kuasa , zalim dan 1001 perkara mungkar ] agar seluruh rakyat dan negara di berkati dan dirahmati oleh Allah swt .

Sunday, August 30, 2009

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KALI KE-52 : PENGERUSI GMUKM



Tanggal 31 Ogos 1957 merupakan satu detik bersejarah yang telah dicatatkan di dalam buku sejarah negara kita yang bernama Malaysia ini, dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu.
Angka 31081957 telah menjadi angka keramat bagi rakyat Malaysia. Pada detik dan ketika itulah, rakyat Malaysia menyambut hari kemenangan dengan pengembalian kuasa pemerintahan negara kepada rakyat yang berbilang kaum ini.

Apakah erti merdeka? Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga menyatakan bahawa merdeka bermaksud " (merdéka) bebas (drpd penjajahan, kurungan, naungan, dll), lepas (drpd tebusan, tuntutan), berdiri sendiri, tidak bergantung pd yg lain: Malaysia ialah sebuah negara yg ~ dan berdaulat; besok ia jadi seorang awam yg ~ dan tidak lagi menjadi perajurit".
Maksudnya di sini jelas bahawa merdeka erti bebas daripada kongkongan mana-mana pihak terutamanya daripada penjajah sama ada berbentuk fizikal mahupun rohaniah. Tetapi jangan salah tafsirkan istilah "Kita Bebas Melakukan Apa sahaja" dengan melakukan perbuatan seperti menfitnah, mengugut, menipu dan bermacam-macam lagi perkara yang membelakangkan undang-undang dan agama.

Juga bukan bermakna kita bebas menyambutnya dengan hiburan mahupun konsert ambang meredeka yang jelas lari daripada roh kemerdekaan dan ia juga bukanlah satu daripada sambutan Merdeka yang disambut oleh nenek moyang kita sewaktu ambang merdeka 31 Ogos 1957 satu ketika dahulu.

Dan bagi umat islam yang sedang berada dalam bulan ramadhan yang mulia ini, sebaik-baiknya jadikan malam kemenangan kita ini lebih meriah dengan zikir-zikir, doa-doa kesyukuran ke hadrat Ilahi di atas apa yang kita perolehi pada hari ini kerana tanpa Kuasa Allah tuhan seru sekian alam, mustahil negara kita dapat memperoleh kemerdekaan daripada Penjajah British.
Jadilah seorang yang memiliki kemerdekaan yang hakiki iaitu terjemahan unggul ke atas pembinaan keperibadian diri kita sebagai seorang yang ‘bersih’ apabila habis ramadhan kelak. Kepada bukan islam pula, jelas ajaran dan kepercayaan mereka amat menitik beratkan persoalan moral dan nilai yang baik, memungkinkan mereka turut menyambut hari kemerdekaan dengan cara yang berhemah dan bersopan.

Mahasiswa yang dihormati sekalian,
Fahamilah dan selamilah erti dan roh kemerdekaan yang sebenar kerana merdeka bukanlah sekadar memasang bendera di atas kenderaan, kolej atau rumah, percikan bunga api yang mewarnai udara bukan maksud sebenar merdeka sebaliknya hayati dan insafilah apa hikmah yang tersirat di sebalik kemerdekaan negara. Merdeka tahun ini sepatutnya anda semua bertekad untuk menentukan apa sumbangan anda kepada negara jangan menyoal apa sumbangan negara kepada anda.

Bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke 52 ini, saya ingin menyingkap secara ringkas idealisme kebebasan Sun Yat Sen, dan juga memetik pidato presiden Sukarno yang menjanjikan kemerdekaan Indonesia “semua untuk semua” , bukan sekadar melayani tuntutan kelompok kecil.

Saya ingin juga memetik ucapan ‘Tryst with Destiny’ yang disampaikan oleh Jawaharlal Nehru, yang menyatakan bahawa “We have to build the noble mansion of free India where all her children may dwell. The appointed day has come-the day appointed by destiny-and India stands forth again, after long slumber and struggle, awake, vital, free and independent.”
Juga pidato Muhammad Ali Jinnah, pengasas negara Pakistan di Constituent Assembly 1947 yang menganggap kemerdekaan negaranya muncul dari gelojak rakyat, satu “cyclonic revolution” tetapi memberi amaran agar pasukan keselamatan bebas tidak terheret dengan politik dan pemimpin menghindari dari rasuah.

Malah dalam Pemasyhuran Kemerdekaan 31 Ogos 1957, YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra telah menekankan soal kebebasan, keadilan dan hak semua rakyat. Dan bagi Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM), kami yakin bahawa kemerdekaan sebenar mahasiswa UKM yang bebas daripada kezaliman Aspirasi akan muncul jua disebabbkan gelombang perubahan dan harapan akan menyinari kampus UKM ini tidak lama lagi. Sama-samalah kita berdoa dan melaksanakan segala tindakan ke arah merealisasikan harapan mahasiswa yang jelas telah ‘dijajah’ dengan kepimpinan lemah Aspirasi sejak 2003 lalu.

Saya yakin semangat dan muafakat Gabungan Mahasiswa yang jelas dan tegas akan mewujudkan perpaduan sebenar di dalam UKM ini sepertimana yang telah digariskan oleh Rukun Negara kita. GMUKM pada masa yang sama terus menolak politik perkauman yang sudah tidak relevan tetapi masih tetap menerima peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai Bahasa Melayu, kedudukan Islam dan hak keistimewaan Melayu-Bumiputra di samping menjamin hak semua rakyat.

Bersempena hari yang ulung ini, ayuh kita sebagai mahasiswa Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain untuk sama-sama kita zahirkan kecintaan kita terhadap Malaysia. Sama-samalah kita mempertahankan kemerdekaan kita kerana 'Perjuangan menuntut kemerdekaan adalah lebih senang daripada mempertahankanya' dan jagalah negara ini dengan sebaik mungkin.

Pada kesempatan ini, saya turut menyeru anda semua untuk bersama-sama kita kibarkan Jalur Gemilang; di kolej atau rumah, di kenderaan dan di fakulti anda. Binalah sebuah harapan baru untuk semua. Bebaskan diri kita semua daripada kelemahan dan ketidakyakinan kepimpinan UKM yang ada pada hari ini.

Kita bersatu untuk berubah. Selamat meraikan Hari Kemerdekaan Kali Ke 52!

Dirgahayu Malaysia!

Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Hisyamuddin Che Ali
Pengerusi GMUKM 2009/MPP Umum

Tuesday, August 18, 2009

12 Fakta Mengejutkan H1N1

Virus influenza A (H1N1) adalah virus baru dan semua orang tiada daya ketahanan kepada jangkitan ini. Vaksin bagi melindungi jangkitan juga belum ada.

Jika penularan dalam komuniti tidak dikawal dengan baik, penyakit yang mudah menular ini (contangious) akan merebak dengan cepat serta melibatkan kejadian kes-kes yang tinggi atau banyak dan jika keadaan ini tidak terkawal kejadian kes berkomplikasi akan berlaku termasuk kematian.

Antara fakta-fakta terbaru yang memeranjatkan tentang virus ini ialah :

1. Hari ini sahaja, jumlah kematian akibat Influenza A (H1N1) telah meningkatkan kepada 59 orang apabila Kementerian Kesihatan mengesahkan tiga orang lagi dilaporkan meninggal dunia kerana penyakit tersebut. Sedangkan kadar biasa dunia di dalam 1000 kes pengidap, hanya seorang yang meninggal dunia.

2. Sebanyak 209 kes baru turut dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes keseluruhannya meningkat kepada 3,574 orang.

3. Dengan kematian 59 orang ini, negara kita berada pada kedudukan kesembilan dalam kalangan negara-negara dunia yang mencatatkan kes kematian akibat H1N1.

4. Tiga negara dunia yang tertinggi jumlah kematian adalah Amerika Syarikat dengan 436 orang, Argentina 386 orang dan Brazil dengan 274 orang. Hanya satu negara Asia yang di atas kita iaitu Thailand di kedudukan ketujuh dengan 97 kematian.

5. Lebih membimbangkan, jumlah kematian H1N1 di negara kita jauh lebih banyak berbanding negara-negara yang mempunyai populasi penduduk yang lebih tinggi umpamanya seperti China, India, Indonesia dan United Kingdom.

6. Mengikut statistik yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sehingga semalam, jumlah kes positif seluruh dunia mencatatkan 226,618 orang dengan 2,047 kematian.

7. Dalam statistik itu juga jelas menunjukkan jangkitan positif H1N1 negara lain jauh lebih tinggi, tetapi mencatatkan kematian yang rendah seperti Hong Kong dengan 6,210 kes, hanya 4 kematian; Filipina 3,207 kes (9 kematian.

8. Di Jepun, sebanyak 5,022 kes dilaporkan, tetapi tiada kematian dicatatkan. Begitu juga di negara Arab Saudi, dimana kerajaan itu telah menggunakan kuasanya secara maksima, dengan mengurung (kuarantin) mereka-mereka yang disyaki mengidap selsema babi selama tujuh hari dan tiada kematian dicatatkan.

9. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lima juta atau 20 peratus rakyat negara ini berisiko dijangkiti virus influenza A (H1N1) jika langkah pencegahan tidak diambil secara serius oleh orang ramai.

10. Kajian WHO juga menunjukkan jumlah sebenar penduduk yang dijangkiti H1N1 adalah 20 kali ganda daripada jumlah pesakit yang direkodkan menerima rawatan akibat jangkitan virus tersebut. Ini bermakna jika negara kita merekodkan 3,574 kes jangkitan H1N1 setakat ini, jumlah sebenar yang dijangkiti adalah sekitar 70,000 orang.

11. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata bahawa penularan wabak itu mungkin berlarutan antara enam bulan hingga setahun lagi.

12. Dan wabak itu dijangka merebak lebih cepat pada musim tengkujuh kerana rakyat Malaysia lebih terdedah dengan selesema, batuk-batuk dan demam.

Friday, August 14, 2009

KONVOKESYEN UKM KALI KE-37


Bertempat di Dewan Canselor Tun Abdul Razak Universiti Kebangsaan Malaysia (DECTAR), akan berlangsung majlis Konvokesyen UKM Ke-37. Konvokesyen diadakan sebanyak 10 Sidang melibatkan 7,674 orang penerima pelbagai anugerah termasuk 5 Profesor Emeritus, dan 2 Ijazah Kehormat.

UKM berjaya mengeluar seramai 131,256 graduan sepanjang 39 tahun penubuhannya dengan pecahan seperti berikut, Ijazah Sarjana Muda (113,975), Ijazah Sarjana (13,641), Ijazah Sarjana Kepakaran (2254) dan Ijazah Doktor Falsafah (1389).

Seramai 2 graduan bakal menerima Anugerah Pelajaran Diraja (APD). Pelajar itu adalah Nur Najwa Abdul Rahman dari Fakulti Pengajian Islam dan Chrissie Lim Hsin dari Fakulti Undang-undang. Pengiktirafan dinilai melalui kecemerlangan dalam akademik, aktif dalam ko-kurikulum, menyumbang bakti kepada masyarakat, mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan sifat keperibadian yang mulia.

Mereka bakal menerima pingat emas bernilai RM1000, wang tunai RM5000 dan Sijil Penghargaan. Dua lagi penerima bakal menerima Anugerah Tun Abdul Razak yang disumbangkan oleh Yayasan Tun Razak dan menerima wang tunai RM1000 dan pingat emas bernilai RM1000. Mereka terdiri daripada Salwana Jusoh@ Yusoff dari Fakulti Pendidikan dan Yew Su Mei dari Fakulti Sains dan Teknologi.

Manakala Adilah Zaira Abu Bakar yang memperolehi Ijazah Sarjanamuda Kejuruteraan Dengan Kepujian (Cemerlang) dalam boding Kejuruteraan dan Elektronik dari Fakulti Kajuruteraan dan Alam Bina terpilih menerima Anugerah Naib Canselor. Beliau bakal menerima hadiah wang tunai RM2500 dan buku terbitan Penerbitan UKM.

Tahniah diucapkan kepada para graduan konvokesyen UKM kali ke-37.

Thursday, May 28, 2009

MEHNAH DUNIA PENDIDIKAN

Pada dasawarsa 21 kini, memperlihatkan kepada kita betapa rapuhnya sistem pendidikan yang digunapakai di negara kita Malaysia. Hari demi hari pelbagai masalah atau gejala melampau telah ditatapkan oleh para pelajar kepada seluruh masyarakat Malaysia umumnya dan kepada guru-guru khasnya yang sedang berjuang habis-habisan untuk mengubah nasib pewaris bangsa pada masa akan datang. Melihatkan kepada permasalahan ini saya merasa terpanggil untuk meluahkan pandangan kepada semua, tentang salah satu sebab dominan yang menyumbang kepada senario ini.

Meneliti kepada tugasan guru pada hari ini, jelas menunjukkan guru banyak berperanan sebagai pengajar semata-mata bukannya pendidik. Ramai guru yang cenderung untuk menghabiskan silibus dan sekadar memenuhi jadual harian. Hal ini menyebabkan roh didikan atau tarbiyah dalam proses p&p pada hari ini semakin tenggelam. Akibatnya, generasi pelajar kini banyak terkesan dengan perkara negatif dan pembentukan nilai gagal diimplementasikan. Justeru, perlu kita persoalkan bagaimana perkara ini boleh terjadi? Saya mengaggap bahawa perlunya perubahan dalam sistem pendidikan Malaysia.

Realitinya, guru kini dilarang tegas untuk merotan atau menghukum pelajar. Sekiranya guru melanggar etika ini maka sudah pastinya guru akan berdepan dengan tindakan undang-undang. Para pelajar pada hari ini langsung tidak boleh disentuh, sekiranya disentuh maka sudah pasti guru akan diserang oleh ibu bapa sehingga berlanjutan ke mahkamah kelak. Hal ini secara tidak langsung meranapkan nilai tarbiyah dalam sistem pendidikan.

Para pelajar semakin hari semakin nakal, sombong, dan sering berkelakuan tidak sopan hingga sanggup menjadikan sekolah sebagai tempat untuk melangsaikan hawa nafsu dan terus-menerus melanggar peraturan sekolah secara sewenang-wenangnya. Lebih memeritkan lagi ialah perkara yang dilakukan adalah bertentangan dengan agama. Namun, guru hanya mampu melihat terhadap perlakuan ini kerana keadaan semakin tidak terkawal. Akibatnya, guru sering dipersalahkan. Pihak lain, masing-masing mempertahankan ego. Justeru, saya menggesa supaya sistem pendidikan dikaji semula supaya ianya benar-benar bersifat sepadu dan tidak dipengaruhi unsur sekular barat.

Keputusan penyelidikan yang dilakukan oleh kerajaan London menunjukkan bahawa sebahagian ibu bapa percaya hukuman berat adalah ‘kaedah kawalan berkesan’ kepada pelajar dan menganggap tingkah laku kanak-kanak semakin teruk sejak amalan merotan dihapuskan. Oleh yang demikian, keputusan untuk mengharamkan hukuman itu diyakini menyumbang kepada peningkatan masalah disiplin dalam kalangan pelajar. Kajian tersebut disokong oleh Jabatan Kanak-Kanak, Sekolah dan Keluarga beberapa bulan selepas satu perlima guru menggesa hukuman rotan diperkenalkan semula untuk mengawal keadaan dalam kelas.

Minggu ini, laporan oleh Ofsted menunjukkan bahawa kaedah disiplin tradisional seperti menggantung persekolahan beratus-ratus pelajar bermasalah pada satu masa dan melarang pelajar membotakkan kepala atau memakai pakaian berjenama adalah pencegahan yang baik. Hakikatnya, angin perubahan di London telah berlaku, bagaimana pula dengan Malaysia? Alangkah baiknya jika angin perubahan ini menular ke negara yang amat kita sayangi ini bagi memastikan kawalan disiplin dalam kalangan pelajar dapat dipertingkatkan seterusnya melahirkan insan yang diidamkan.

Saturday, May 23, 2009

Mahasiswa Sebagai KARYAWAN ILMIAH

Karyawan merupakan insan istimewa yang mempunyai pengaruh yang agak luas dalam kalangan masyarakat. Sesetengah karyawan yang mendominasi media massa dapat mengawal arah pemikiran rakyat. Karyawan lahir daripada gabungan idea insan pemikir dan penterjemah. Buah pemikiran karyawan dalam bentuk dan medium yang pelbagai mampu membentuk pemikiran, kepercayaan dan akhlak manusia.

Sebagai kelompok yang terdedah kepada kegiatan ilmiah, para mahasiswa seharusnya mengambil semangat keilmuan di universiti untuk berkarya. Perpustakaan universiti sendiri menempatkan sumber keilmuan yang cukup perkasa dengan bahan-bahan rujukan. Selain itu, pendrafan awal hasil karya juga boleh dibincangkan dengan para sahabat dan pensyarah yang akan memberikan kepelbagaian maklumat dan kritikan. Kedua-dua kelebihan ini membolehkan hasil karya mahasiswa lebih berkualiti dan bersifat ilmiah. Oleh sebab itu, wajarlah mahasiswa ini digelarkan karyawan ilmiah muda yang membezakannya dengan karyawan biasa yang hanya tertumpu kepada faham sastera sahaja.

Menurut Datuk Dr. Nik Safiah Karim, karyawan ilmiah adalah pekerja berilmu, berfikir, melakukan keputusan berteraskan ilmu pengetahuan dan menyerlahkan ciri-ciri kepimpinan. Mahasiswa sebagai karyawan ilmiah muda perlu berani tampil mendepani permasalahan sosial, politik dan ekonomi. Penghujahan karyawan ilmiah muda perlu berdasarkan kemapanan antara analisa, fakta dan cadangan membina. Kemapanan ini perlu bagi melahirkan hasil karya yang tidak dicemari unsur-unsur prasangka, dendam dan tuduhan melulu.

Karyawan ilmiah muda juga perlu mempunyai dimensi penulisan yang agak luas. Hasil karya mereka bukan terhad kepada bidang kesusasteraan sahaja tetapi mencakupi keseluruhan fakulti keilmuan seperti ilmu astronomi, teknologi, agama, kesihatan atau sains sosial. Kebolehan karyawan ilmiah muda yang multidimensi membolehkan mereka bersifat dinamika semasa mendiskusikan sesuatu isu.

Dalam satu wawacara, Fatimah Busu seorang pensyarah ilmu kemanusiaan USM telah membicarakan tentang penerapan teori 3 Darma ke dalam gerak kerja mahasiswa sosialis di USM pada tahun 1970an. Teori 3 Darma meliputi dasar mengkritik, mengintegrasi dan mengkaji. Penulis berpendapat teori ini boleh digarap dalam penulisan para karyawan ilmiah muda. Mahasiswa perlu bersikap kritikal terhadap isu-isu massa dengan melakukan kritikan di samping memberi cadangan membina untuk mengatasi isu tersebut. Antara isu yang boleh diberi tumpuan oleh mahasiswa adalah isu pengangguran, isu masyarakat pinggir bandar dan isu peningkatan kualiti rakyat di desa.

Penulisan mahasiswa juga perlu bersifat integrasi dimana isu-isu yang diperjuangkan seharusnya merentasi sempadan kaum, ras, agama dan geografi. Justeru, perjuangan mahasiswa akan diterima oleh masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk. Sesuai dengan status mahasiswa sebagai karyawan ilmiah muda, elemen mengkaji menjadi tunjang kepada penghasilan karya mahasiswa. Satu kajian terperinci dan berterusan perlu dilakukan terhadap fakta-fakta dengan analisis yang jitu. Hasil kajian ini akan diterjemahkan ke dalam karya untuk santapan masyarakat.

Perterjemahan idea mahasiswa boleh dilakukan dalam pelbagai genre termasuk puisi, novel, cerpen atau rencana. Presiden Persatuan Bahasa Melayu USM, Fatimah Sham Hamid Tuah pernah mengkritik dasar-dasar universiti melalui cerpennya yang bertajuk Surat Dari Minden dalam Dewan Sastera pada tahun 1970an. Kritikan ini secara halus dan tersirat agak sukar ditangani oleh pihak penguasa kerana hasil sastera merupakan cerita kreatif. Kritikan yang menarik dalam hasil karya sastera dapat dilihat dalam tulisan karyawan profesional seperti Azizi Abdullah, Shahnon Ahmad dan Affandi Hasan.

Hasil karya merupakan satu wasilah kepada permindahan ilmu, maklumat dan amanat pimpinan kepada audien pembaca dan para pengikut sesuatu aliran atau jemaah. Mata pena merupakan senjata yang amat tajam dan paling lama dapat bertahan. Syed Naquib al Attas menyatakan hasil karya merupakan sumbangan yang bersifat kekal abadi daripada kerajaan, negara, dan tindakan manusia yang akan lupus. Di Mesir, pemerintah Mesir berjaya menghukum as Syahid Iman Hasan al Banna dan as syahid Syed Qutb secara fizikal, dan menumbangkan institusi seperti Ikhwanul Muslimin seranap mungkin tetapi pemerintah Mesir gagal mematikan gagasan pemikiran Ikhwanul Muslimin yang terus hidup dalam hasil karya seperti Petunjuk Sepanjang Zaman dan Risalah Ta’alim.

Walaupun karyawan bukan seorang pemimpin institusi, tetapi karyawan dalam setiap institusi merupakan tonggak yang begitu berpengaruh tanpa kuasa pimpinan. Lihatlah hasil karya Syed Qutb, Said Hawwa, Malek Bennabi, Syed Naquib al Attas, Ismail al Faruqi, dan Yusuf al Qaradawi yang banyak mempengaruhi pemikiran gerakan Islam di seluruh dunia. Kebanyakan karyawan ilmiah ini dianggap tokoh ideologi yang merancang halatuju perjuangan gerakan tanpa kuasa arahan yang dimiliki oleh pimpinan institusi.

Keterlibatan mahasiswa sebagai karyawan ilmiah muda pernah memeriahkan dunia penulisan semasa zaman kegemilangan gerakan mahasiswa pada tahun 1970an. Mahasiswa mempunyai medium yang tersendiri seperti akhbar Mahasiswa Negara, Berita Pelajar, dan Berita Kampus. Akhbar ini merupakan suara perjuangan mahasiswa dengan hasil karya mahasiswa dalam bentuk sastera dan rencana yang bersifat responsif terhadap isu-isu antarabangsa, nasional dan kampus. Dalam dimensi inilah lahirnya karyawan ilmiah muda berbakat yang kini telah mencipta nama dalam persada akademik, politik, kebudayaan dan pentadbiran. Antaranya ialah Muhamad Abu Bakar, Ahmad Sebi, Johan Jaafar dan Mansor Ahmad Saman.

Kini kegemilangan akhbar mahasiswa dilihat layu, selayu dengan perkembangan mahasiswa generasi baru. Ketiadaan medium di dalam kampus menyebabkan mahasiswa bertindak mencari medium di luar kampus yang bersifat simpatis kepada nasib gerakan mahasiswa seperti akhbar Watan, Eksklusif, Tamadun, Tunas Cipta dan MINDA. Maka muncullah segelintir mahasiswa sebagai karyawan ilmiah generasi baru yang berbakat dan berstatus pemimpin mahasiswa seperti Mukthar Suhaili [UIA], Muhd Raimi Abdul Rahim [PKPIM] dan Muhamad Ramadan Fitri [UM]. Selain itu, terdapat juga mahasiswa sebagai karyawan muda yang non-pimpinan dan menumpukan kepada penulisan sastera kreatif dan rencana sastera seperti saudara Dahri Zakaria, Anjan Ahzana dan Jimadie Shah atau penulis dari Kelab Intelektual Muda UIA, Sekretariat Muda GAPENA, dan Kelab Seni Jalan Telawi.

Sebenarnya, ketiadaan akhbar atau majalah di peringkat kampus telah memandulkan bakat mahasiswa dalam penulisan, membantut keintelektualan para mahasiswa untuk berdialog dengan pelbagai sumber keilmuan dan menghilangkan kebersamaan mahasiswa dalam menyelesaikan isu-isu masyarakat. Akibatnya, tenaga dan idea mahasiswa diarahkan kepada perkara yang bersifat remeh ala ‘pelajar TABIKA KEMAS’ seperti festival nyanyian dan perbarisan hari kemerdekaan di dalam kampus yang dilakukan pada waktu malam. Bukan tidak boleh melakukan perkara tersebut tetapi biarlah mahasiswa melakukan perkara yang lebih gah sesuai dengan tahap keintelektualan mereka.

Karyawan ilmiah muda harus kenal diri, memahami tanggungjawab dan peranan bakal mereka pikul. Peranan dan tanggungjawab mereka perlu dibina di atas status mereka sebagai muslim atau berpaksi nilai-nilai ketimuran. Karyawan ilmiah muda yang baik adalah karyawan yang mempunyai ketinggian mutu dalam budaya, akhlak dan pemikiran serta berupaya membentuk watak manusia melalui penanya. Mahasiswa sebagai karyawan ilmiah muda tidak seharusnya tahu bermuluk-muluk dengan pena sahaja tetapi perlu menunjangkan penulisan mereka kepada kesedaran dan penghayatan nilai-nilai moral dan agama yang semakin tercabar ke dalam kelakuan amali.

Cabaran karyawan ilmiah muda ialah membebaskan diri daripada kejahilan yang dipelopori karyawan komersial. Karyawan jenis ini menyalurkan maklumat picisan dan hiburan ke dalam penulisannya. Kisah gosip, sensasi dan cacian menjadi teras hasil karya karyawan komersial yang hanya mencari populariti dan habuan material. Karyawan ilmiah muda perlu menghasilkan karya yang sarat dengan ilmu yang murni dan bermanfaat. Ilmu yang bertunjang fakta dan kajian serta tunduk kepada arahan al Quran dan hadis. Mahasiswa sebagai karyawan ilmiah muda tidak seharusnya bersifat fakir ilmu yang digambarkan sebagai ‘rubbish in, rubbish out’. Tanpa kekuatan ilmu, hasil karya mereka akan dianggap sampah pemikiran yang mengelirukan akal budi pembaca.

Hasil karya karyawan ilmiah muda haruslah dibersihkan daripada sifat mencari kenikmatan dunia melalui habuan material. Seorang karyawan agung adalah karyawan yang membebaskan dirinya daripada penggadaian ilmu, akhlak, bersifat profesionalisme dan menjaga maruahnya bukan untuk keuntungan dunia yang sementara. Sifat tamak dunia ini disifatkan oleh Iman Ibnu Athaillah al Iskandari dalam kitab Matan al-Hikam, sebagai memanjang dahan kehinaan manusia dimana biji tamak akan bercabang-cabanglah dahannya dan ranting-rantingnya. Mahasiswa sebagai karyawan ilmiah muda mesti memerdekakan diri dan minda agar tidak terpengaruh dengan pujukan yang bersifat material. Kejujuran dalam hasil karya akan melahirkan karyawan yang berautoriti dan berwibawa.

Karyawan ilmiah muda perlulah bertunjangkan kepada tradisi Melayu-Islam iaitu melahirkan hasil karya yang disuluhi oleh ajaran al Quran, hadis dan tradisi ketimuran. Penularan fahaman humanisme yang ekstrem di kalangan karyawan muda sangat membimbangkan terutamanya karyawan muda yang bernaung di bawah Kumpulan Universiti Bangsar Utama [KUBU]. Kekaguman ini terserlah dalam hasil karya mereka yang bersifat erotik, mempersoalkan agama dan memuja idea-idea humanisme secara taksub. Tanpa suluhan agama, karyawan muda akan mengutip hasil keringat mereka hanya di dunia yang bersifat sementara dan habuan di negeri akhirat ditinggalkan demi fantasia faham humanisme mereka yang mengelirukan akal pembaca.

Karyawan ilmiah muda juga perlu mempunyai jalur perjuangan yang tersendiri dimana mahasiswa sebagai karyawan ilmiah muda perlu tegas dengan idealis dan pendirian yang tersendiri tanpa dibelenggu idealis kelompok-kelompok berkepentingan. Mereka perlu menyedari tentang seni perbezaan pendapat dan berfikiran rasional dengan pendapat yang menentang pendapat mereka. Ingatlah setiap hujah yang bertentangan adalah rahmat kerana karyawan ilmiah muda boleh berdialog dengan sumber yang lain dan sekaligus mempertahankan hujah karyawan ilmiah muda dengan fakta ilmiah. Jika hujah karyawan ilmiah muda tersilap, akuilah kesilapan dengan sifat keterbukaan. Inilah sifat karyawan yang unggul hati nuraninya.

Akta Universiti dan Kolej Universiti[AUKU] dilihat satu regalia yang menghalang penggarapan idealis mahasiswa di dalam media massa. Bahagian III Perkara 15 dan 16 dalam AUKU telah memandulkan pemikiran dan aktiviti mahasiswa di universiti termasuklah menyekat hak mahasiswa membuat kenyataan akhbar dan menulis dalam media massa. Sebenarnya, setiap penulisan perlu mendapat kebenaran daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar akan mengancam kebebasan akademik mahasiswa. Mahasiswa perlu berani menongkah arus AUKU selagi tiada unsur propaganda atau hasutan yang mengancam keselamatan negara dalam penulisan mereka. Justeru, keberanian beberapa pimpinan mahasiswa yang telah membuktikan mereka boleh menangani isu politik dengan baik perlulah dipuji dan dikagumi. Kita harus membezakan antara isu politik dengan politik kepartian. Perbezaan ini diharap menjadi indeks bagi karyawan ilmiah muda dalam menyelusuri isu-isu politik semasa.

Keseluruhannya, mahasiswa sebagai karyawan ilmiah muda adalah satu cita-cita yang belum mantap dari segi pelaksanaannya. Mahasiswa perlu pantas mengambil peluang di universiti bagi menggarap potensi diri supaya kelahiran karyawan ilmiah muda yang berkualiti, berakhlak, berilmu dan bertakwa dapat direalisasikan. Pengayuh sampan ditangan mahasiswa, justeru atas budibicara mahasiswalah untuk mendayung sampan kehidupan ini ke arah positif atau negatif.

Affandi Abdul Rahman
MPP Fakulti Pendidikan Thn 3 & 4

Saturday, May 16, 2009

SELAMAT HARI GURU 2009

Assalamualaikum dan Salam Perguruan...


Guru merupakan istilah yang cukup sinonim dalam sistem pendidikan di Malaysia. Namun, profesion ini terpaksa berdepan dengan pelbagai dugaan dan cabaran ditambah pula dengan masalah kebejatan sosial yang semakin meruncing dalam kalangan pelajar. Peranan guru tidak semudah yang disangkakan kerana perahan keringat yang mencurah-mencurah amat diperlukan dalam usaha melahirkan generasi rabbani yang seimbang merangkumi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Pembentukan modal insan merupakan proses yang cukup rumit dan memerlukan kepada iltizam dan semangat yang kental. Saya beranggapan bahawa pembentukan generasi guru perlu diperkasakan sekiranya kita mahu membentuk generasi pelajar yang berkualiti. Guru perlu mempersiapkan diri dengan ilmu pedagogi di samping tidak mengabaikan kemahiran insaniah yang lain. Guru yang hebat tidak mudah berputus asa apabila berdepan dengan kerenah pelajar malah tetap sabar dan berusaha menonjolkan contoh tauladan terpuji.

Proses menjadi seorang guru bukan sekadar proses belajar untuk mendidik pelajar tetapi juga fokus kepada sejauh mana bakal guru mendidik dirinya menjadi insan contoh. Mahasiswa/i Fakulti Pendidikan wajar menyahut seruan ini dan berusaha meningkatkan kualiti diri sebelum bergelar guru kelak. Guru yang baik harus menitikberatkan penerapan akhlak dan nilai murni dalam kalangan pelajar, bukan sekadar fokus kepada proses menghabiskan silibus semata-mata. Justeru, peranan guru sebagai ikon amat perlu supaya pelajar dapat mencontohi dan mengaplikasikan nilai baik dalam kehidupan seharian.

Guru harus memainkan peranan secara optimum dalam usaha mencapai matlamat pendidikan. Namun, sejauh mana peranan tersebut dimainkan? Adakah perlu wujudnya transformasi dalam sistem pendidikan sedia ada sekarang? Hakikatnya, sistem yang digunapakai sekarang dilihat kurang merangsang guru untuk menjiwai profesion mendidik generasi masa depan sehingga ada pihak yang melatah dengan mengatakan "guru makan gaji buta" atau "guru lepaskan batuk di tangga". Guru yang dilahirkan kini juga banyak yang terkesan dengan gejala negatif sehingga menjadi ikutan kepada pelajar dan mencemarkan institusi pendidikan. Oleh itu, kita perlu sentiasa merenung diri dan muhasabah untuk memastikan segala tindakan berada pada landasan perjuangan yang betul.

Walau apa pun senario yang berlaku kini, menjadi tanggungjawab guru-guru mahupun bakal guru khususnya mahasiswa/i Fakulti Pendidikan untuk memperbetulkan niat sebelum anda terus menerus meneroka bidang yang mulia ini. Akhir kata, ucapan "SELAMAT HARI GURU" ditujukan kepada seluruh pensyarah dan mahasiswa/i Fakulti Pendidikan seterusnya seluruh warga dunia pendidikan di Malaysia. Giatkan usaha anda untuk melahirkan generasi yang mampu menggegarkan dunia pada masa hadapan.

Muhamad Faiz Ismail
MPP Fakulti Pendidikan Thn 1 & 2

Saturday, May 09, 2009

TIMBANG SEMULA!

Sejak akhir-akhir ini, Malaysia dihimpit dengan pelbagai isu yang cukup menggemparkan penghuninya. Antaranya ialah keputusan Kabinet yang memutuskan untuk mengekalkan agama asal kanak-kanak apabila ibu bapanya berkahwin walaupun selepas salah seorang pasangan menukar agamanya. Keputusan tergesa-gesa itu mendapat reaksi yang negatif dan dibantah oleh para ulama', NGO Islam, parti politik dan majoriti rakyat kerana ia diputuskan tanpa mengambil kira pandangan golongan yang berautoriti dalam bidang agama.

Keputusan tersebut diwar-warkan sebagai penyelesaian jangka panjang dalam isu yang melibatkan pertikaian status agama anak apabila ibu atau bapa menukar agama. Hal ini adalah rentetan daripada kes terbaru melibatkan Mohd Ridzuan Abdullah atau Patmanathan a/l Krishnan, penganut Hindu yang kini memeluk Islam telah menukarkan agama 3 orang anaknya kepada Islam dan memohon hak penjagaan terhadap mereka walaupun pada ketika itu ibunya masih beragama Hindu.

Namun begitu, setelah meneliti fakta berkaitan isu ini, saya optimis mengatakan bahawa keputusan Kabinet tidak wajar kerana ianya jelas menampakkan usaha campur tangan badan eksekutif terhadap badan legislatif (kehakiman). Lagipun, perbicaraan mahkamah berkaitan kes tersebut masih berjalan. Pada pandangan saya, adalah lebih wajar sekiranya Kabinet merujuk atau mengambil kira pandangan pakar agama, ulama' dan peguam syar'ie sebelum membuat sebarang keputusan kerana hal ini melibatkan sensetiviti agama.

Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan ibu atau bapanya atau penjaganya. Perkara 12(4) ini telah ditafsirkan oleh mahkamah tertinggi negara iaitu Mahkamah Persekutuan dalam kes Subahsini di mana mahkamah telah memutuskan bahawa salah seorang (ibu atau bapa) boleh menentukan agama anak. Hal ini membuktikan bahawa persetujuan salah satu pihak sudah memadai.

Mahasiswa juga bangkit menyatakan pandangan mereka menerusi penyerahan memorandum kepada Perdana Menteri dan Ketua Hakim pada 1 Mei yang lalu melibatkan beberapa persatuan dan organisasi pelajar. Antaranya ialah Ma'ruf Club UIA, PMIUM, ISIUKM, PMIUPM, MPMUM, MPMUIAM, MPMN, GAMIS dan SMM. Mahasiswa menggesa agar keputusan tersebut ditarik semula oleh Kabinet dan turut mencadangkan beberapa alternatif untuk diberi perhatian. Antaranya ialah :

-Menghormati prinsip pengasingan kuasa dengan memberi kebebasan sepenuhnya kepada mahkamah untuk mengadili sesuatu pertikaian tanpa diganggu oleh keputusan kerajaan.
-Mengadakan perbincangan ilmiah dan pertemuan antara ketua-ketua agama demi mendapat pandangan yang adil daripada semua pihak dan mencapai keputusan yang terbaik.
-Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah juga dicadangkan agar mendapatkan kata sepakat dan menyelesaikan konflik bidangkuasa kedua-dua mahkamah berkaitan isu sensitif ini.

Hakikatnya, kesediaan pihak Kabinet untuk mempertimbangkan semula keputusan tersebut amat berpatutan demi keadilan dan kepentingan semua pihak. Isu ini perlu difikirkan secara kritikal sebelum sebarang keputusan dikeluarkan. Selain itu, penglibatan pihak yang berautoriti khususnya dalam bidang agama dan kehakiman wajar diberi perhatian yang konkrit. Mahasiswa juga perlu mengarahkan minda terhadap isu ini supaya ruang lingkup pemikiran kita tidak terhad dalam lingkungan silibus dan kuliah di kampus semata-mata. Saya berharap agar kemelut ini dapat diselesaikan dengan matang, adil dan saksama tanpa terus-menerus bergelumang dengan konflik yang mengelirukan.

Muhamad Faiz Ismail
MPP Fakulti Pendidikan Thn 1 & 2

Sunday, April 26, 2009

Mansuh PMR, Rombak UPSR - Relevan atau Tidak?

Idea dan konsep kelihatan menarik, namun adakah ianya wajar dilaksanakan dalam sistem pendidikan di Malaysia? Persoalan ini sering bermain di benak fikiran tatkala tercetusnya idea Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) yang mahu Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan, manakala Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dirombak dalam usaha transformasi sistem pendidikan yang bergantung kepada peperiksaan.

Walau bagaimanapun, mereka mahu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terus dikekalkan sebagai pengukur kepada kecerdasan akademik dan kefahaman pelajar pada peringkat menengah. "Kita tidak melihat keperluan PMR sebenarnya, tetapi pelajar terpaksa menanggung beban untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan ini. Lebih baik pelajar menengah diuji dalam SPM saja," kata Presiden NUTP, Hashim Adnan. Presiden PIBGN, Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hassan pula berpendapat terlalu banyak peperiksaan awam bukan saja membebankan guru dan pelajar, malah ibu bapa.

Saya beranggapan bahawa kajian terperinci sewajarnya dijalankan supaya pemansuhan dan rombakan tersebut tidak memberi kesan yang negatif kepada pelajar. Realiti pelajar pada masa ini termasuklah pelajar universiti beranggapan bahawa kejayaan dalam peperiksaan merupakan penentu kepada kecemerlangan pada masa depan sehingga mengakibatkan kemahiran lain dalam diri pelajar tidak dapat diperkasakan. Senario ini adalah hasil acuan sistem pendidikan negara yang menjurus kepada peperiksaan.

Pada hakikatnya, kejayaan dalam peperiksaan awam boleh dianggap sebagai menifestasi kefahaman pelajar terhadap perkara yang dipelajari. Namun, adakah kewujudan PMR di peringkat menengah masih relevan untuk terus dilaksanakan sebagai suatu proses penilaian terhadap prestasi pelajar? atau mungkinkah guru, ibu bapa dan pelajar sudah cukup terbeban memerah keringat untuk memastikan kecemerlangan dalam ketiga-tiga peperiksaan awam, justeru perlu kepada pemansuhan PMR? Persoalan lain yang timbul ialah adakah UPSR belum cukup perkasa sehingga memerlukan kepada rombakan?

Isu ini turut mendapat perhatian MPP Fakulti Pendidikan, Muhamad Faiz Ismail yang berpendapat sudah tiba masa untuk ianya dikaji semula kerana sudah muncul budaya negatif kesan daripada kewujudan peperiksaan awam.

"Terdapat guru yang hanya fokus kepada soalan dan skema peperiksaan, bukan penekanan terhadap isi pelajaran. Kesannya pelajar hanya menghafal dan memuntahkan dalam peperiksaan. Apabila ditanya, mereka tidak mampu menjawab, apatah lagi menghurai"katanya.


Friday, March 06, 2009

SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL


12 Rabiulawal bakal menjelang tidak lama lagi. Tarikh tersebut membawa makna yang cukup besar kerana lahirnya seorang Nabi yang membawa syafaat kepada seluruh umat Islam. Kelahiran baginda disambut dengan begitu gembira termasuklah bapa saudara baginda, Abu Lahab. Beliau telah membebaskan hambanya, Thuwayba semasa kelahiran Nabi Muhammad s.a.w walaupun kemudiannya beliau kuat menentang dan memusuhi baginda kerana membawa ajaran Islam yang syumul.

Setiap tahun sambutan Maulidur Rasul diadakan di negara kita sama ada di peringkat sekolah, universiti, daerah, negeri mahupun kebangsaan. Sambutan tersebut bertujuan untuk mengingati perjuangan dan pengorbanan baginda dalam menyebarkan Islam. Pelbagai bentuk program dianjurkan sempena menyambut hari keputeraan baginda seperti perarakan, syarahan, pertandingan, penyampaian anugerah dan sebagainya demi meningkatkan penghayatan terhadap sirah Rasulullah s.a.w.

Walau bagaimanapun, masih terdapat segelintir umat Islam yang tidak ambil peduli tentag kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, bahkan begitu gembira meraikan konsert-konsert hiburan yang melalaikan. Tatkala baginda hampir wafat, kata-kata "ummati" (umatku) meniti di bibirnya, sebaliknya kita selaku umatnya langsung tidak mengingati baginda apatah lagi menjadikan baginda sebagai contoh tauladan. Kebanyakan manusia akhir zaman ini lebih suka mengagungkan artis dan sering menuruti hawa nafsu yang cintakan dunia melebihi segalanya. Senario ini membuatkan jiwa-jiwa manusia rosak sehinggan menyebabkan mereka mudah terjerumus ke lembah kehinaan.

Janganlah kita menjadikan sambutan Maulidur Rasul sebagai adat semata-mata tanpa menghayati sirah perjuangan baginda s.a.w. Kita hendaklah sentiasa bersyukur akan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w kerana baginda telah berjaya membimbing umat terdahulu keluar daripada kegelapan. Semoga kita sentiasa bersama Allah dan Rasulullah, dijauhkan daripada segala sifat keji dan mungkar seta ditiupkan roh semangat perjuangan baginda dalam menegakkan Islam di muka bumi Allag yang bersifat sementara ini.

"Sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat ke atas Nabi, wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu dan berilah salam kepada baginda". Justeru, siapakah kita pada pandangan Allah sekiranya kita tidak melembutkan lidah untuk menuturkan selawat ke atas baginda? Renungkanlah sahabat.....'Selamat Menyambut Maulidur Rasul'.

Sunday, March 01, 2009

PPSMI : DILEMA BAHASA DITELAN BANGSA

Perjuangan memartabatkan bahasa melayu telah melakarkan sebuah perjuangan yang panjang. Sewaktu detik mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, tuntutan rakyat untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa rasmi tidak dapat dipenuhi oleh parti yang memerintah. Alasannya kerana Bahasa Melayu belum benar-benar bersedia untuk mengambil-alih tugas Bahasa Inggeris yang telah digunakan oleh penjajah dalam segala urusan rasmi dan pentadbiran negara. Atas sebab itu, Bahasa Inggeris masih dibenarkan penggunaannya, untuk tempoh masa 10 tahun lagi. Tempoh itu dirasakan manasabah untuk setiap rakyat Tanah Melayu mempelajari dan menguasai Bahasa Melayu.

Pada tahun 1967, Bahasa Inggeris masih diberi ruang yang besar sebagai bahasa rasmi. Badan NGO Melayu rasa terkejut dengan beberapa peruntukan dalam Rang Undang-Undang Bahasa 1967 yang masih mengekalkan Bahasa Inggeris dalam beberapa bidang terutama bidang kehakiman.

Apa gunanya merdeka, jika bahasa anak pribumi dianggap sebagai bahasa kelas ketiga dan tidak layak digunakan di negara sendiri? Adakah tempoh 10 tahun masih tidak cukup untuk setiap rakyat memantapkan penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan? Inilah yang diperjuangkan oleh pejuang bahasa dalam tahun 1967. Mereka berasa seolah-olah dikhianati oleh para pemimpin yaang kononnya memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu.

Sekumpulan 9 orang peguam Melayu telah menghantar memorandum menyuarakan bantahan namun tidak dipedulikan oleh parti yang memerintah. Kemarahan orang Melayu semakin membuak-buak. Seramai 2,000 orang mewakili 120 pertubuhan orang Melayu telah berhimpun di Balai Budaya, DBP pada petang Jumaat 3 Mac, 1967. Perhimpunan tersebut menyaksikan orang Melayu bersatu tanpa mengira fahaman politik. Peristiwa itu juga diingati dengan ucapan Tun Syed Nasir Ismail, Pengarah DBP yang menitiskan airmata mengenangkan nasib Bahasa Melayu;

"...saya menangis bukan kerana takut, tetapi air mata ini lahir daripada keharuan hati sanubari saya mengenangkan nasib bangsa saya. Saya tidak boleh buat apa-apa sekarang ini. Saya terikat..."

Kemarahan rakyat sudah tak terbendung menyaksikan sekumpulan aktivis bersedia mahu berarak ke Bangunan Parlimen. Mereka mahu mengusung Keranda 152 yang membawa jiwa bangsa yang sudah ditamatkan hayat oleh bangsanya sendiri. Perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu mencapai kemenangan apabila tercetusnya peritiwa 13 Mei 1969, yang kemudiannya seakan menjadi penyelamat apabila Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara.

Hari ini martabat bahasa Melayu telah terhakis sedikit demi sedikit. Segala titik peluh, darah keringat dan pengorbanan mengangkat Bahasa Melayu diabaikan malah langsung tidak diberi pengiktirafan. Golongan 'taksub' Western Worldview bersorak keriangan kerana banyak bahasa ibunda di dunia, termasuk Bahasa Melayu disapu habis oleh kuasa bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris telah menjadi lingua franca seantero dunia.

Perlaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah dilancarkan pada sesi persekolahan 2003 yang mana telah diputuskan sebagai keputusan dasar kerajaan Malaysia hasil daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 19 Julai 2002. Rasional kepada peralihan bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris adalah atas dasar keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai taraf negara maju dan persiapan dari peringkat awal persekolahan untuk bersaing dalam era globalisasi.

Perlaksanaan PPSMI dilihat sebagai satu keputusan drastik pihak kerajaan tanpa membuat satu penilaian dan penelitian yang teliti terhadap keberkesanan dan impaknya kepada semua rakyat Malaysia. Dalam satu pertemuan tertutup bersama GAPENA suatu ketika dahulu, Tun Dr Mahathir sendiri mengakui kesilapannya dalam meluluskan pelaksanaan PPSMI di Malaysia. Namun, disebabkan keputusan telah dikeluarkan, PPSMI tetap diteruskan.

Isu ini tidak pernah menampakkan penyelesaiannya, terdapat pelbagai pendapat yang menghujani pemikiran mahasiswa tatkala melihat isu tenggelamnya Bahasa Melayu di bumi Malaysia tercinta ini. Ada yang mengatakan ianya baik untuk memajukan pengetahuan Bahasa Inggeris pelajar, ada juga yang mengatakan ia sebenarnya adalah virus kecelaruan pemimpin yang menjadi penyebab kepada kegagalan pelajar hari ini yang mendapat keputusan yang begitu menyayat hati. Ada juga yang beranggapan bahawa penguasaan Bahasa Inggeris boleh diperkasakan melalui penambahbaikan terhadap silibus dan kaedah pengajaran subjek tersebut tanpa perlu diparasitkan pada subjek sains dan matematik.

Justeru, semuanya kembali kepada kita untuk membuat penilaian yang tersendiri samada PPSMI wajar diteruskan ataupun tidak. Saya yakin dan percaya bahawa mahasiswa kini adalah golongan intelektual yang mampu membuat ulasan dan memikirkan jalan penyelesaian terbaik terhadap isu ini.

Affandi Abdul Rahman
MPP Fakulti Pendidikan Thn 3 & 4


 

.: Suara MPP FPend Sesi 2009/2010 :. Copyright © 2009