Bangi, 10 Jun- Keputusan mengehadkan bilangan mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada 10 subjek merupakan cadangan kerajaan untuk mengurangkan beban pelajar selain memantapkan lagi kecemerlangan dalam subjek yang diambil.
MPP Fakulti Pendidikan, Affandi Abdul Rahman berkata, jumlah subjek tidak wajar dipersoalkan dan pelajar sepatutnya diberikan kebebasan untuk mengambil seberapa banyak subjek yang diingini. Kekangan terhadap pelajar dianggap menafikan hak mereka untuk belajar.Selain itu, beliau berpendapat bahawa isu yang sepatutnya menjadi fokus bukan jumlah bilangan subjek kerana keupayaan mengambil banyak subjek bukan hakikat penentu kecemerlangan pelajar. Apa yang lebih utama ialah penekanan nilai akhlak dan moral yang semakin terhakis dalam kalangan pelajar masa ini.
Namun, MPP Fakulti Pendidikan Thn 2, Muhamad Faiz Ismail ketika ditemui memberi pandangan yang berbeza. “Subjek yang sedikit memberi lebih ruang masa kepada pelajar untuk mendalami pelajaran dan terlibat dengan aktiviti ko-kurikulum. Situasi ini mampu membantu kerajaan melahirkan pelajar yang lebih faham tentang isi pelajaran di samping dapat meningkatkan kualiti diri mereka.” kata Muhamad Faiz.
Beliau menganggap perkara tersebut sebagai suatu cadangan yang baik. Namun, keputusan tersebut perlu dipertimbangkan semula kerana jumlah 10 subjek kurang relevan dan tidak adil. Jumlah tersebut dilihat tidak mengambil kira pelajar sekolah agama yang mengambil bidang agama dan sains. Begitu juga dengan pelajar Cina dan India yang mengambil Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.
0 comments: