Friday, May 08, 2009

UKM ANTARA 100 UNIVERSITI TERBAIK ASIA


Bangi, 8 Mei-Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) muncul sebagai universiti tempatan kedua terbaik selepas Universiti Malaya apabila disenarai pada tangga ke-51 oleh Times Higher Education (THE). Penarafan universiti serantau yang julung kalinya dikeluarkan oleh QS Quacquarelli Symonds Ltd iaitu penyusun THE-QS World University Rankings dibuat berdasarkan ukuran kecemerlangan serantau sesebuah universiti.

QS adalah pakar maklumat terkemuka dalam bidang pengajian tinggi yang mempunyai pejabat di beberapa buah negara. Menurut Nunzio Quacquarelli, Pengarah urusan QS, Universiti terbaik bukan hanya cemerlang dari segi kualiti tetapi juga produktiviti yang tinggi dalam penyelidikan.

MPP Fakulti Pendidikan, Affandi Abdul Rahman yang diminta mengulas tentang pengiktirafan ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan berharap agar pengiktirafan ini mampu menjadi pendorong kepada semua warga UKM untuk lebih berusaha pada masa akan datang.

"Keputusan ini dilihat mampu memberi impak kepada UKM yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pelajar. Namun, keringat perlu terus-menerus diperah dan jangan mudah berpuas hati kerana kita masih mempunyai ruang untuk memperbaiki. "katanya lagi.

"Mahasiswa/i harus berusaha lebih gigih untuk menguasai bidang ilmu di samping tidak sekali-kali mengabaikan pembinaan sahsiah diri yang semakin luntur akibat terlalu hebat diasak pengaruh negatif yang menular. Kemudahan dan prasarana kelas pertama tidak bermakna sekiranya mahasiswa/i UKM masih berada pada tahap minda kelas ketiga." kata MPP Thn 1 & 2, Muhamad Faiz Ismail.

0 comments:

Post a Comment | Feed

Post a Comment



 

.: Suara MPP FPend Sesi 2009/2010 :. Copyright © 2009