
Keputusan tersebut diwar-warkan sebagai penyelesaian jangka panjang dalam isu yang melibatkan pertikaian status agama anak apabila ibu atau bapa menukar agama. Hal ini adalah rentetan daripada kes terbaru melibatkan Mohd Ridzuan Abdullah atau Patmanathan a/l Krishnan, penganut Hindu yang kini memeluk Islam telah menukarkan agama 3 orang anaknya kepada Islam dan memohon hak penjagaan terhadap mereka walaupun pada ketika itu ibunya masih beragama Hindu.
Namun begitu, setelah meneliti fakta berkaitan isu ini, saya optimis mengatakan bahawa keputusan Kabinet tidak wajar kerana ianya jelas menampakkan usaha campur tangan badan eksekutif terhadap badan legislatif (kehakiman). Lagipun, perbicaraan mahkamah berkaitan kes tersebut masih berjalan. Pada pandangan saya, adalah lebih wajar sekiranya Kabinet merujuk atau mengambil kira pandangan pakar agama, ulama' dan peguam syar'ie sebelum membuat sebarang keputusan kerana hal ini melibatkan sensetiviti agama.
Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan ibu atau bapanya atau penjaganya. Perkara 12(4) ini telah ditafsirkan oleh mahkamah tertinggi negara iaitu Mahkamah Persekutuan dalam kes Subahsini di mana mahkamah telah memutuskan bahawa salah seorang (ibu atau bapa) boleh menentukan agama anak. Hal ini membuktikan bahawa persetujuan salah satu pihak sudah memadai.
Mahasiswa juga bangkit menyatakan pandangan mereka menerusi penyerahan memorandum kepada Perdana Menteri dan Ketua Hakim pada 1 Mei yang lalu melibatkan beberapa persatuan dan organisasi pelajar. Antaranya ialah Ma'ruf Club UIA, PMIUM, ISIUKM, PMIUPM, MPMUM, MPMUIAM, MPMN, GAMIS dan SMM. Mahasiswa menggesa agar keputusan tersebut ditarik semula oleh Kabinet dan turut mencadangkan beberapa alternatif untuk diberi perhatian. Antaranya ialah :
-Menghormati prinsip pengasingan kuasa dengan memberi kebebasan sepenuhnya kepada mahkamah untuk mengadili sesuatu pertikaian tanpa diganggu oleh keputusan kerajaan.
-Mengadakan perbincangan ilmiah dan pertemuan antara ketua-ketua agama demi mendapat pandangan yang adil daripada semua pihak dan mencapai keputusan yang terbaik.
-Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah juga dicadangkan agar mendapatkan kata sepakat dan menyelesaikan konflik bidangkuasa kedua-dua mahkamah berkaitan isu sensitif ini.
Hakikatnya, kesediaan pihak Kabinet untuk mempertimbangkan semula keputusan tersebut amat berpatutan demi keadilan dan kepentingan semua pihak. Isu ini perlu difikirkan secara kritikal sebelum sebarang keputusan dikeluarkan. Selain itu, penglibatan pihak yang berautoriti khususnya dalam bidang agama dan kehakiman wajar diberi perhatian yang konkrit. Mahasiswa juga perlu mengarahkan minda terhadap isu ini supaya ruang lingkup pemikiran kita tidak terhad dalam lingkungan silibus dan kuliah di kampus semata-mata. Saya berharap agar kemelut ini dapat diselesaikan dengan matang, adil dan saksama tanpa terus-menerus bergelumang dengan konflik yang mengelirukan.
Muhamad Faiz Ismail
MPP Fakulti Pendidikan Thn 1 & 2
0 comments: