Thursday, May 28, 2009

MEHNAH DUNIA PENDIDIKAN

Pada dasawarsa 21 kini, memperlihatkan kepada kita betapa rapuhnya sistem pendidikan yang digunapakai di negara kita Malaysia. Hari demi hari pelbagai masalah atau gejala melampau telah ditatapkan oleh para pelajar kepada seluruh masyarakat Malaysia umumnya dan kepada guru-guru khasnya yang sedang berjuang habis-habisan untuk mengubah nasib pewaris bangsa pada masa akan datang. Melihatkan kepada permasalahan ini saya merasa terpanggil untuk meluahkan pandangan kepada semua, tentang salah satu sebab dominan yang menyumbang kepada senario ini.

Meneliti kepada tugasan guru pada hari ini, jelas menunjukkan guru banyak berperanan sebagai pengajar semata-mata bukannya pendidik. Ramai guru yang cenderung untuk menghabiskan silibus dan sekadar memenuhi jadual harian. Hal ini menyebabkan roh didikan atau tarbiyah dalam proses p&p pada hari ini semakin tenggelam. Akibatnya, generasi pelajar kini banyak terkesan dengan perkara negatif dan pembentukan nilai gagal diimplementasikan. Justeru, perlu kita persoalkan bagaimana perkara ini boleh terjadi? Saya mengaggap bahawa perlunya perubahan dalam sistem pendidikan Malaysia.

Realitinya, guru kini dilarang tegas untuk merotan atau menghukum pelajar. Sekiranya guru melanggar etika ini maka sudah pastinya guru akan berdepan dengan tindakan undang-undang. Para pelajar pada hari ini langsung tidak boleh disentuh, sekiranya disentuh maka sudah pasti guru akan diserang oleh ibu bapa sehingga berlanjutan ke mahkamah kelak. Hal ini secara tidak langsung meranapkan nilai tarbiyah dalam sistem pendidikan.

Para pelajar semakin hari semakin nakal, sombong, dan sering berkelakuan tidak sopan hingga sanggup menjadikan sekolah sebagai tempat untuk melangsaikan hawa nafsu dan terus-menerus melanggar peraturan sekolah secara sewenang-wenangnya. Lebih memeritkan lagi ialah perkara yang dilakukan adalah bertentangan dengan agama. Namun, guru hanya mampu melihat terhadap perlakuan ini kerana keadaan semakin tidak terkawal. Akibatnya, guru sering dipersalahkan. Pihak lain, masing-masing mempertahankan ego. Justeru, saya menggesa supaya sistem pendidikan dikaji semula supaya ianya benar-benar bersifat sepadu dan tidak dipengaruhi unsur sekular barat.

Keputusan penyelidikan yang dilakukan oleh kerajaan London menunjukkan bahawa sebahagian ibu bapa percaya hukuman berat adalah ‘kaedah kawalan berkesan’ kepada pelajar dan menganggap tingkah laku kanak-kanak semakin teruk sejak amalan merotan dihapuskan. Oleh yang demikian, keputusan untuk mengharamkan hukuman itu diyakini menyumbang kepada peningkatan masalah disiplin dalam kalangan pelajar. Kajian tersebut disokong oleh Jabatan Kanak-Kanak, Sekolah dan Keluarga beberapa bulan selepas satu perlima guru menggesa hukuman rotan diperkenalkan semula untuk mengawal keadaan dalam kelas.

Minggu ini, laporan oleh Ofsted menunjukkan bahawa kaedah disiplin tradisional seperti menggantung persekolahan beratus-ratus pelajar bermasalah pada satu masa dan melarang pelajar membotakkan kepala atau memakai pakaian berjenama adalah pencegahan yang baik. Hakikatnya, angin perubahan di London telah berlaku, bagaimana pula dengan Malaysia? Alangkah baiknya jika angin perubahan ini menular ke negara yang amat kita sayangi ini bagi memastikan kawalan disiplin dalam kalangan pelajar dapat dipertingkatkan seterusnya melahirkan insan yang diidamkan.

0 comments:

Post a Comment | Feed

Post a Comment



 

.: Suara MPP FPend Sesi 2009/2010 :. Copyright © 2009