Sunday, April 26, 2009

Mansuh PMR, Rombak UPSR - Relevan atau Tidak?

Idea dan konsep kelihatan menarik, namun adakah ianya wajar dilaksanakan dalam sistem pendidikan di Malaysia? Persoalan ini sering bermain di benak fikiran tatkala tercetusnya idea Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) yang mahu Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan, manakala Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dirombak dalam usaha transformasi sistem pendidikan yang bergantung kepada peperiksaan.

Walau bagaimanapun, mereka mahu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terus dikekalkan sebagai pengukur kepada kecerdasan akademik dan kefahaman pelajar pada peringkat menengah. "Kita tidak melihat keperluan PMR sebenarnya, tetapi pelajar terpaksa menanggung beban untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan ini. Lebih baik pelajar menengah diuji dalam SPM saja," kata Presiden NUTP, Hashim Adnan. Presiden PIBGN, Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hassan pula berpendapat terlalu banyak peperiksaan awam bukan saja membebankan guru dan pelajar, malah ibu bapa.

Saya beranggapan bahawa kajian terperinci sewajarnya dijalankan supaya pemansuhan dan rombakan tersebut tidak memberi kesan yang negatif kepada pelajar. Realiti pelajar pada masa ini termasuklah pelajar universiti beranggapan bahawa kejayaan dalam peperiksaan merupakan penentu kepada kecemerlangan pada masa depan sehingga mengakibatkan kemahiran lain dalam diri pelajar tidak dapat diperkasakan. Senario ini adalah hasil acuan sistem pendidikan negara yang menjurus kepada peperiksaan.

Pada hakikatnya, kejayaan dalam peperiksaan awam boleh dianggap sebagai menifestasi kefahaman pelajar terhadap perkara yang dipelajari. Namun, adakah kewujudan PMR di peringkat menengah masih relevan untuk terus dilaksanakan sebagai suatu proses penilaian terhadap prestasi pelajar? atau mungkinkah guru, ibu bapa dan pelajar sudah cukup terbeban memerah keringat untuk memastikan kecemerlangan dalam ketiga-tiga peperiksaan awam, justeru perlu kepada pemansuhan PMR? Persoalan lain yang timbul ialah adakah UPSR belum cukup perkasa sehingga memerlukan kepada rombakan?

Isu ini turut mendapat perhatian MPP Fakulti Pendidikan, Muhamad Faiz Ismail yang berpendapat sudah tiba masa untuk ianya dikaji semula kerana sudah muncul budaya negatif kesan daripada kewujudan peperiksaan awam.

"Terdapat guru yang hanya fokus kepada soalan dan skema peperiksaan, bukan penekanan terhadap isi pelajaran. Kesannya pelajar hanya menghafal dan memuntahkan dalam peperiksaan. Apabila ditanya, mereka tidak mampu menjawab, apatah lagi menghurai"katanya.


1 Comment:

Anonymous said...

Kita sudah terbukti belum mampu beralih ke b.i dalam (ppsmi), namun kita lakukan juga. kesannya, ia menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat

Dalam artikel ini, saya berpandangan bahawa kita juga masih belum bersedia untuk melkakukan rombakan terhadap PMR dan UPSR, namun mengapa kita ingin lakukan? ada pelbagai masalah yang akan timbul, contohnya:-

1- Kemasukan ke sekolah berasrama penuh bermula selepas tingkatan 3, bagaimana dengan kayu ukurnya?

2- Pelajar tidak mampu hendak mengumpulkan semua ilmu dari tingkatan 1 hingga 5, dan mengjawabnya dalam masa 2 jam didalam satu peperiksaan

3- Sejauh mana semua pelajar dari setiap tingkatan memahami bahawa dia perlu bersedia untuk peperiksaan secara kritikal... pada pandangan saya, sekiranya hanya SPM yang ada, maka ayat-ayat seperti ini akan muncul
"ala....kita baru form 1, rileks la.
exam 4 tahun lagi"
"ala ...kita baru form 2, exam lambat
lagi. rileks ar
" ayat yang sama akan berulang"

kesimpulan

Saya berpandangan, apa yang perlu dibuat oleh kerajaan ialah menangani masalah sosial remaja melalui penerapan ilmu dalam sistem pendidikan kita. Sekarang ini, masalah remaja, kes juvana dan sosial berlambak-lambak tidak terjawab. sejauh mana kita bersedia menangani masalah ini melalui sistem ilmu dalam pedidikan?????????????????????????????????????????????????????????????????

Post a Comment | Feed

Post a Comment



 

.: Suara MPP FPend Sesi 2009/2010 :. Copyright © 2009