Sunday, March 01, 2009

PERMATA PINTAR FAKULTI PENDIDIKAN

Bangi, 2 Mac - Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melancarkan program Permata Pintar yang dibangunkan untuk kanak-kanak cerdas di Malaysia. Majlis pelancaran program ini telah dirasmikan oleh Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, selaku Penaung program Permata Pintar.

Program Permata Pintar adalah Program Perkhemahan Cuti Sekolah Pelajar-Pelajar Pintar Cerdas yang dibangunkan khusus untuk pelajar-pelajar berusia 9 ke 15 tahun yang mempunyai kecerdasan dan daya intelektual yang tinggi. Program ini akan diadakan mulai Disember ini dengan kerjasama Johns Hopkins University.

Projek perintis ini menelan belanja RM950,000 dan melibatkan seramai 300 pelajar pintar cerdas yang terpilih. Kumpulan pelajar-pelajar ini akan dibahagikan kepada dua kumpulan umur iaitu 9 hingga 12 tahun dan 13 hingga 15 tahun.

Bagi memilih mereka yang layak menjalani program ini, tiga ujian saringan yang dikenali sebagai Ujian Permata Pintar UKM1, UKM2 dan UKM3 sudah dibangunkan oleh Fakulti Pendidikan. Bagi ujian saringan UKM1, kanak-kanak yang berminat boleh menjalani ujian tersebut melalui laman web www.permatapintar.com.my dalam masa dua bulan mulai tarikh pelancaran program. Mereka yang terpilih itu kelak akan menjalani ujian UKM2 dan UKM3 di lokasi-lokasi yang akan dimaklumkan kemudian.

Sepanjang dua minggu program perkhemahan, peserta akan disajikan dengan topik-topik stimulatif yang akan membantu merangsang minda di bawah tiga mata pelajaran iaitu Sains, Matematik dan Penulisan Kreatif. Selain itu, turut diadakan program riadah dan rekreasi bagi meningkatkan kecerdasan serta kebolehan psikomotor di samping aktiviti-aktiviti kesenian dan sukan.

Sebuah kertas kerja bagi menubuhkan Sekolah Permata Pintar UKM yang bernilai RM20juta sedang disediakan dan akan dibentangkan kepada kerajaan secepat mungkin. Sebagai permulaan projek itu akan menampung seramai 200 pelajar pintar cerdas Tingkatan 4 dan 5 di mana pelajar-pelajar tersebut akan turut mengambil beberapa kursus universiti selain mata pelajaran biasa.

0 comments:

Post a Comment | Feed

Post a Comment



 

.: Suara MPP FPend Sesi 2009/2010 :. Copyright © 2009