Friday, March 06, 2009

SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL


12 Rabiulawal bakal menjelang tidak lama lagi. Tarikh tersebut membawa makna yang cukup besar kerana lahirnya seorang Nabi yang membawa syafaat kepada seluruh umat Islam. Kelahiran baginda disambut dengan begitu gembira termasuklah bapa saudara baginda, Abu Lahab. Beliau telah membebaskan hambanya, Thuwayba semasa kelahiran Nabi Muhammad s.a.w walaupun kemudiannya beliau kuat menentang dan memusuhi baginda kerana membawa ajaran Islam yang syumul.

Setiap tahun sambutan Maulidur Rasul diadakan di negara kita sama ada di peringkat sekolah, universiti, daerah, negeri mahupun kebangsaan. Sambutan tersebut bertujuan untuk mengingati perjuangan dan pengorbanan baginda dalam menyebarkan Islam. Pelbagai bentuk program dianjurkan sempena menyambut hari keputeraan baginda seperti perarakan, syarahan, pertandingan, penyampaian anugerah dan sebagainya demi meningkatkan penghayatan terhadap sirah Rasulullah s.a.w.

Walau bagaimanapun, masih terdapat segelintir umat Islam yang tidak ambil peduli tentag kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, bahkan begitu gembira meraikan konsert-konsert hiburan yang melalaikan. Tatkala baginda hampir wafat, kata-kata "ummati" (umatku) meniti di bibirnya, sebaliknya kita selaku umatnya langsung tidak mengingati baginda apatah lagi menjadikan baginda sebagai contoh tauladan. Kebanyakan manusia akhir zaman ini lebih suka mengagungkan artis dan sering menuruti hawa nafsu yang cintakan dunia melebihi segalanya. Senario ini membuatkan jiwa-jiwa manusia rosak sehinggan menyebabkan mereka mudah terjerumus ke lembah kehinaan.

Janganlah kita menjadikan sambutan Maulidur Rasul sebagai adat semata-mata tanpa menghayati sirah perjuangan baginda s.a.w. Kita hendaklah sentiasa bersyukur akan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w kerana baginda telah berjaya membimbing umat terdahulu keluar daripada kegelapan. Semoga kita sentiasa bersama Allah dan Rasulullah, dijauhkan daripada segala sifat keji dan mungkar seta ditiupkan roh semangat perjuangan baginda dalam menegakkan Islam di muka bumi Allag yang bersifat sementara ini.

"Sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat ke atas Nabi, wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu dan berilah salam kepada baginda". Justeru, siapakah kita pada pandangan Allah sekiranya kita tidak melembutkan lidah untuk menuturkan selawat ke atas baginda? Renungkanlah sahabat.....'Selamat Menyambut Maulidur Rasul'.

0 comments:

Post a Comment | Feed

Post a Comment



 

.: Suara MPP FPend Sesi 2009/2010 :. Copyright © 2009