Wednesday, September 16, 2009

MESYUARAT MPP BERSAMA MPU DITANGGUH?

UKM, 16 Sept-Mesyuarat Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bersama Majlis Pengurusan Universiti (MPU) yang kali pertama diadakan terpaksa ditangguhkan buat kali yang kedua. Paling mengejutkan adalah penangguhan berlaku akibat permintaan Presiden PMUKM sendiri, Nasir Nazri kepada Naib Canselor atas alasan bahawa ramai MPP (baca MPP Aspirasi) telah pulang ke kampung untuk bercuti raya.

MPP Mahasiswa seramai 12 orang itu juga tidak menerima sebarang notis mahupun sistem pesanan ringkas (SMS) memaklumkan tentang penundaan mesyuarat tersebut. Akibatnya, mereka hadir ke mesyuarat itu tepat jam 9.00 pagi dan malangnya mendapati tiada kelibat ahli mesyuarat yang hadir.

“Kita sepatutnya lebih profesional dan tidak sewenang-wenangnya memberi alasan yang bersifat 'kebudak-budakan'. Banyak isu mahasiswa yang masih belum selesai, tempoh jawatan MPP juga hampir tamat, justeru kenapa lengah-lengahkan dengan menjadikan 'balik raya' sebagai alasan,” ujar MPP Fakulti Pendidikan mengulas tentang isu tersebut.

Menurut MPP tersebut, alasan penangguhan kerana hari raya adalah tidak relevan dan pihak PMUKM Aspirasi perlu mengutamakan kepentingan mahasiswa, bukannya kepentingan peribadi.

Walau bagaimanapun, dilaporkan bahawa MPP Mahasiswa yang hadir telah pergi ke bilik TNC HEPA dan berjaya berjumpa dengan Naib Canselor dan TNC HEPA di ruangan tingkat 6 Bangunan Canselori. Dialog diadakan untuk membincangkan hal tersebut dan peluang itu turut dimanfaatkan oleh MPP Mahasiswa untuk mengajukan pertanyaan berkaitan kebajikan mahasiswa.

Pertemuan itu berlangsung kira-kira satu jam. Naib Canselor apabila diajukan permasalahan tentang mesyuarat MPP yang hanya berlangsung satu kali sahaja setakat ini, beliau terkejut dan meminta TNC HEPA menyiasat isu ini.



0 comments:

Post a Comment | Feed

Post a Comment



 

.: Suara MPP FPend Sesi 2009/2010 :. Copyright © 2009