Sunday, July 12, 2009

Mahasiswa Membantah Kekejaman Selatan Thai

Bangi 11 Julai - Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyuarakan bantahan terhadap kekejaman yang berlaku di Selatan Thailand dua hari lepas dengan mengadakan perhimpunan secara aman setelah selesai solat Jumaat di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia.

Perhimpunan tersebut dianjurkan oleh beberapa persatuan mahasiswa yang berasa ‘terpukul’ dengan siri-siri kekejaman yang dilakukan terhadap penduduk Selatan Thailand.

Beberapa orang pimpinan mahasiswa telah tampil menyatakan pendirian berkaitan isu ini dan menggesa kemelut tersebut diselesaikan segera.

Konflik tersebut telah berlaku sekian lama dan dilihat semakin serius kerana angka korban kini mencecah 3700 orang. Konflik ini kembali mendapat perhatian media setelah pembunuhan kejam 11 orang jemaah ketika solat isyak di Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan pada 10 Jun yang lalu.

MPP Fakulti Pendidikan, Muhamad Faiz Ismail menyifatkan tindakan mendiamkan isu Selatan Thai adalah tidak wajar kerana bertentangan dengan semangat persaudaraan Islam.

"Suatu masa dulu isu Palestin menjadi perhatian, tapi kini kenapa isu selatan Thai didiamkan oleh masyarakat? Kenapa perlu memilih sedangkan tidak banyak beza antara keduanya. Kita perlu bersyukur dengan cara memberi bantuan kepada mereka....jangan sekali-kali membutakan mata tatkala mereka menghadapi kekejaman yang amat serius."tegasnya.

Sementara itu, wakil mahasiswa Pattani, Mohd Hafifi menegaskan bahawa rakyat Malaysia perlu bangkit membantah dan tidak wajar membisu tentang peristiwa berdarah yang terus-menerus berlaku saban hari di wilayah bergolak , selatan Thailand.

"Lihatlah apa yang berlaku, anda tidak sewajarnya berdiam diri kerana kita adalah saudara seIslam. Kekejaman ini perlu dihentikan segera kerana kami juga mempunyai hak untuk hidup dengan aman."kata beliau.

0 comments:

Post a Comment | Feed

Post a Comment



 

.: Suara MPP FPend Sesi 2009/2010 :. Copyright © 2009