Saturday, May 16, 2009

SELAMAT HARI GURU 2009

Assalamualaikum dan Salam Perguruan...


Guru merupakan istilah yang cukup sinonim dalam sistem pendidikan di Malaysia. Namun, profesion ini terpaksa berdepan dengan pelbagai dugaan dan cabaran ditambah pula dengan masalah kebejatan sosial yang semakin meruncing dalam kalangan pelajar. Peranan guru tidak semudah yang disangkakan kerana perahan keringat yang mencurah-mencurah amat diperlukan dalam usaha melahirkan generasi rabbani yang seimbang merangkumi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Pembentukan modal insan merupakan proses yang cukup rumit dan memerlukan kepada iltizam dan semangat yang kental. Saya beranggapan bahawa pembentukan generasi guru perlu diperkasakan sekiranya kita mahu membentuk generasi pelajar yang berkualiti. Guru perlu mempersiapkan diri dengan ilmu pedagogi di samping tidak mengabaikan kemahiran insaniah yang lain. Guru yang hebat tidak mudah berputus asa apabila berdepan dengan kerenah pelajar malah tetap sabar dan berusaha menonjolkan contoh tauladan terpuji.

Proses menjadi seorang guru bukan sekadar proses belajar untuk mendidik pelajar tetapi juga fokus kepada sejauh mana bakal guru mendidik dirinya menjadi insan contoh. Mahasiswa/i Fakulti Pendidikan wajar menyahut seruan ini dan berusaha meningkatkan kualiti diri sebelum bergelar guru kelak. Guru yang baik harus menitikberatkan penerapan akhlak dan nilai murni dalam kalangan pelajar, bukan sekadar fokus kepada proses menghabiskan silibus semata-mata. Justeru, peranan guru sebagai ikon amat perlu supaya pelajar dapat mencontohi dan mengaplikasikan nilai baik dalam kehidupan seharian.

Guru harus memainkan peranan secara optimum dalam usaha mencapai matlamat pendidikan. Namun, sejauh mana peranan tersebut dimainkan? Adakah perlu wujudnya transformasi dalam sistem pendidikan sedia ada sekarang? Hakikatnya, sistem yang digunapakai sekarang dilihat kurang merangsang guru untuk menjiwai profesion mendidik generasi masa depan sehingga ada pihak yang melatah dengan mengatakan "guru makan gaji buta" atau "guru lepaskan batuk di tangga". Guru yang dilahirkan kini juga banyak yang terkesan dengan gejala negatif sehingga menjadi ikutan kepada pelajar dan mencemarkan institusi pendidikan. Oleh itu, kita perlu sentiasa merenung diri dan muhasabah untuk memastikan segala tindakan berada pada landasan perjuangan yang betul.

Walau apa pun senario yang berlaku kini, menjadi tanggungjawab guru-guru mahupun bakal guru khususnya mahasiswa/i Fakulti Pendidikan untuk memperbetulkan niat sebelum anda terus menerus meneroka bidang yang mulia ini. Akhir kata, ucapan "SELAMAT HARI GURU" ditujukan kepada seluruh pensyarah dan mahasiswa/i Fakulti Pendidikan seterusnya seluruh warga dunia pendidikan di Malaysia. Giatkan usaha anda untuk melahirkan generasi yang mampu menggegarkan dunia pada masa hadapan.

Muhamad Faiz Ismail
MPP Fakulti Pendidikan Thn 1 & 2

0 comments:

Post a Comment | Feed

Post a Comment



 

.: Suara MPP FPend Sesi 2009/2010 :. Copyright © 2009